Mahdzir dakwa Najib cuma diam selepas mengadu diperlekeh

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa beliau pernah mengadu mengenai kelakuan pelobi kontrak kerajaan dari Jepak Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan projek pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahdzir memberi keterangan bahawa, pelobi berkenaan memperlekehkan dirinya sebagai Menteri Pendidikan ketika itu tetapi bekas perdana menteri cuma berdiam diri.

Menurutnya, wakil-wakil dari Jepak Holdings yang melobi untuk mendapatkan projek pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak terdiri daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakannya, Rayyan Radzwill Abdullah yang disokong oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

"Saya memberitahu Datuk Seri Najib bahawa Rayyan menuduh saya gagal sebagai menteri pendidikan dan tidak boleh lama menjadi menteri. Dia (Rayyan) telah mengeluarkan ugutan sebegitu beberapa kali kepada saya antara bulan Julai dan Oktober 2016.

"Saya juga memberitahu Datuk Seri Najib bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dalam urusan projek hibrid solar bagaimanapun, Datuk Seri Najib tidak bercakap apa-apa selepas itu seolah-olah mengiyakan apa yang telah diberitahu oleh Saidi dan Rayyan kepadanya," kata Mahdzir ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dalam kes rasuah membabitkan Rosmah di Mahkamah Tinggi, di sini.

Menurut Mahdzir, beliau menandatangani surat penganugerahan kontrak pada 10 November 2016.

"Datuk Seri Najib hanya arahkan saya untuk mengikut arahan beliau untuk mengeluarkan SST (Surat Setuju Terima) kepada Jepak (Jepak Holdings) dengan segera. Saya akur sahaja dengan arahan beliau," katanya.

Mahdzir turut memberitahu mahkamah, Saidi dan Rayyan datang ke kementeriannya di Putrajaya kerana mereka tidak berpuas hati dengan klausa tertentu dalam surat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Klausa tersebut adalah berkenaan hak kementerian pendidikan untuk menamatkan kontrak dan mengurangkan bilangan sekolah bagi pelaksanaan projek solar hibrid sekiranya ada sekolah yang telah disambungkan ke talian grid elektrik.

"Saidi dan Rayyan menuntut saya untuk mengarahkan kementerian pendidikan mengeluarkan klausa berkenaan," katanya.

Mahdzir memberitahu, beliau pada awalnya enggan kerana ia perlu mengikut prosedur tetapi Rayyan menyatakan "Takkan benda ni nak sampaikan kepada Datuk Seri Najib lagi".

Kemudian, katanya, Rayyan telah menghubungi pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor (kini Datuk).

Mahdzir berkata, Rizal telah memberitahunya dengan mengatakan "kalau boleh keluarkan klausa itu" dan "jangan buat susah perkara ini".

Selain itu kata Mahdzir, Rizal juga memberitahu bahawa projek itu sudah berada dalam pengetahuan 'Mem'.

"Saya tahu Mem yang dimaksudkan oleh Datuk Rizal Mansor adalah Datin Seri Rosmah. Cara cakap Datuk Rizal Mansor tidaklah kasar cuma beliau menggunakan autoriti Datin Seri Rosmah," katanya.

Terdahulu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, dan Seri Perdana Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan bersambung esok.