Koronavirus: Tiada paksaan bawa 34 rakyat Malaysia pulang dari Wuhan

Marzuki
Marzuki
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak akan memaksa kesemua 34 rakyat Malaysia dikenal pasti masih berada di bandar Wuhan, wilayah Hubei, China untuk kembali pulang ke tanah air tanpa kerelaan mereka.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, susulan tindakan penutupan bandar Wuhan oleh kerajaan China bagi tujuan kuarantin akibat wabak novel koronavirus, pihaknya belum menerima laporan berhubung sebab keengganan mereka pulang ke Malaysia sebelum ini.

Pihaknya turut mengandaikan keputusan itu dibuat 34 rakyat Malaysia terbabit disebabkan faktor sudah berkeluarga dan komitmen tugasan di sana.

"Keadaan mereka juga mungkin tidak meruncing, jadi 34 rakyat Malaysia terbabit merasakan tiada keperluan untuk pulang ke Malaysia bersama 107 rakyat lain dari Wuhan melalui pesawat khas diterbangkan kerajaan baru-baru ini.

"Bagaimanapun, kita akan terus memberikan perhatian kepada mereka dan wakil kedutaan Malaysia di wilayah Hubei bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, kerajaan Malaysia menggunakan satu pesawat khas disewa dari syarikat penerbangan AirAsia untuk membawa pulang seramai 107 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Penerbangan di bawah Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) itu turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan virus itu.

Pesawat khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 3.50 petang Isnin lalu bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.

Artikel Berkaitan:

Marzuki berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada pihak kedutaan mengenai status terkini kesemua 34 rakyat Malaysia yang masih berada di sana.

Menurutnya, identiti mereka sudah dikenal pasti, bagaimanapun maklumat itu belum dapat disalurkan kepada kerajaan Malaysia.

"Kerajaan Malaysia melalui pihak kedutaan kini hanya menggunakan alat komunikasi untuk berhubung dengan 34 rakyat kita di Wuhan susulan tidak semua antara mereka berdaftar dengan kedutaan.

"Senario itu turut menyebabkan kita tidak dapat menempatkan mereka di bangunan kedutaan Malaysia di Wuhan, namun kerajaan akan memberi jaminan tahap kesihatan akan diperiksa sebaik sahaja mereka dapat berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Angka kematian di China cecah 636 orang

Jumlah orang yang dijangkiti novel koronavirus di seluruh tanah besar China kini seramai 31,161 dengan 636 kematian, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara pada Jumaat.

"Pada tengah malam 6 Februari (16:00 GMT Khamis), Suruhanjaya Kesihatan Negara menerima maklumat mengenai 31,161 kes disahkan penyakit radang paru-paru disebabkan virus itu dari 31 wilayah (wilayah dan perbandaran). Seramai 4,821 orang berada dalam keadaan kritikal, 636 meninggal dunia, (dan) 1,540 orang dibenarkan keluar hospital," lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan suruhanjaya itu.

Semalam, angka kematian ialah seramai 563 orang, manakala jumlah yang dijangkiti 28,018.

Wabak virus baharu itu - 2019-nCoV - mula dikesan di bandar Wuhan China, di wilayah Hubei, pada Disember dan sejak itu ia telah merebak ke lebih 25 negara. Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan darurat kesihatan global berikutan penularan wabak tersebut.