KPM akan kaji pelaksanaan PPSMI, bawa ke Jemaah Menteri


DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

KUALA LUMPUR- Saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dikaji oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

KPM dalam satu kenyataan menyebut bahawa sambil mengambil baik saranan itu, kajian yang dilakukan akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaannya

“Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah perkara yang baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

"Walaupun KPM telah memansuhkannya secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2012, namun Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016 tetap memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Sehingga Januari 2020, sebanyak 2,292 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan DLP," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Dr Mahathir merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah menyatakan pandangan beliau berhubung kepentingan murid mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pandangan itu dilontarkan Dr Mahathir dalam sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPM pada 30 Januari 2020.

“Dr Mahathir berpendirian bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah amat penting kerana pengetahuan serta bahan rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir hari ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan masih menimbang sama ada untuk melaksanakan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. - BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN PPSMI: Kerajaan akan buat keputusan dalam masa terdekat, kata Mahathir