Ubat antimalaria didakwa dapat halang koronavirus

Pegawai perubatan mengumpul sampel koronavirus untuk diuji. - Foto AFP
Pegawai perubatan mengumpul sampel koronavirus untuk diuji. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Kumpulan penyelidik di China mendapati ubat antimalaria jenis chloroquine dapat menghalang jangkitan koronavirus secara in vitro.

Dalam jurnal Cell Research, penyelidik dari Institut Virologi Wuhan di bawah Akademi Sains Cina dan Institut Farmakologi dan Toksikologi Beijing melaporkan, mereka telah menilai kecekapan antivirus melibatkan tujuh ubat.

Chloroquine, ubat antimalaria dan autoimun yang digunakan secara meluas, telah diketahui boleh menghalang jangkitan virus dengan mengubah keasidan serta nilai asas dalam sel dan mengganggu reseptor koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Tengah (SARS).

Menerusi kajian terbaharu itu, chloroquine menunjukkan kesan antivirus pada kedua-dua peringkat kemasukan dan pasca kemasukan jangkitan koronavirus dalam sel Vero E6.

Vero E6 yang berasal daripada buah pinggang monyet Afrika adalah salah satu daripada sel mamalia yang biasa digunakan dalam mikrobiologi dan molekul serta penyelidikan sel biologi.

Menurut penyelidik, chloroquine ialah ubat yang murah dan selamat selain telah digunakan selama lebih 70 tahun.

Ia juga berpotensi secara klinikal untuk menentang koronavirus.

Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Bioteknologi Kebangsaan, Sun Yanrong mengesahkan kesan chloroquine dalam menghalang jangkitan koronavirus pada sidang akhbar yang diadakan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Chloroquine dan beberapa ubat antivirus lain termasuk ubat tradisional Cina yang mengandungi ramuan antivirus aktif telah dipilih sebagai pilihan ubat untuk eksperimen ke atas haiwan dan ujian klinikal lanjut. - Xinhua