Kor Ming cadang letak kiosk ubat di setiap PPR

Kor Ming dan Dr Zaliha pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Persefahaman Kerjasama Strategik Perkhidmatan Kesihatan dan Kebombaan antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan di Kementerian Kesihatan, pada Selasa. - Foto Bernama
Kor Ming dan Dr Zaliha pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Persefahaman Kerjasama Strategik Perkhidmatan Kesihatan dan Kebombaan antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan di Kementerian Kesihatan, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan supaya kiosk ubat-ubatan diletakkan di setiap kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menurutnya, beliau terinspirasi daripada bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai kiosk ubat-ubatan sendiri.

"Sekarang ada kiosk jual ubat di KKM, kita sedang mempelopori kemungkinan kerjasama yang mana kiosk ini diletakkan di kawasan PPR.

"Apabila anak-anak sakit waktu tengah malam, tidak perlulah ke farmasi kerana sudah ada kiosk ubat.

"Macam kita beli makanan ringan, mesin vendor ini boleh jual ubat seperti Panadol, vitamin dan lain-lain," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas menyaksikan Nota Persefahaman (NoU) Kerjasama Strategik Bidang Kesihatan dan Kebombaan antara KPKT dan KKM di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Kewangan, Datuk Seri Norazman Ayob; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Bahagian Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Sementara itu, Kor Ming turut memaklumkan, kolaborasi KPKT melalui JBPM dan KKM itu dijangka menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM15 juta setahun.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ia bertujuan meningkatkan kerjasama bagi pemindahan pesakit dan pasukan perubatan di hospital atau fasiliti kesihatan seluruh negara terutama bagi kawasan Semenanjung Malaysia.

"Kolaborasi antara dua kementerian tersebut merupakan kerjasama strategik dalam pengurusan bencana, penggunaan sumber secara holistik, perkongsian kepakaran dan pengetahuan dan pengurusan peruntukan kewangan yang cekap.

"Penggunaan helikopter dalam Emergency Medical Air Ambulance Rescue Services (EMARS) dapat mempercepatkan urusan pemindahan pesakit dan pengangkutan berkaitan perubatan, sekaligus dapat meningkatkan usaha menyelamatkan nyawa," ujarnya.