JKNS nafi Klinik Kesihatan Salak ditutup kerana koronavirus

Dr Sha'ari
Dr Sha'ari
A
A
A

SEPANG - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menafikan penutupan sementara Klinik Kesihatan (KK) Salak di sini hari ini disebabkan terdapat kes berkaitan wabak koronavirus.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman menerusi satu kenyataan berkata, sebaliknya penutupan klinik selama dua jam itu adalah sebagai langkah berjaga- jaga.

"Merujuk kenyataan tular di media sosial kononnya terdapat satu kes Patient Under Investigation (PUI) 2019-nCov di Klinik Kesihatan Salak, Daerah Sepang.

"Semakan mendapati kes tersebut tidak memenuhi definasi kes dan tiada kontak dengan kes positif koronavirus atau sejarah ke negara China dalam tempoh 14 hari.

"Tindakan penutupan dan dekontaminasi dilakukan pihak klinik kesihatan tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata, pesakit tersebut juga telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan yang disebabkan penyakit lain bukannya PUI nCov.

Oleh demikian katanya, orang awam dinasihatkan tidak berasa bimbang dengan apa yang berlaku di Klinik Kesihatan Salak.

"Pegawai berkaitan telah dimaklumkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi semua tindakan yang diambil.

Artikel Berkaitan:

"JKNS memohon maaf atas segala kesulitan akibat penutupan sementara tersebut. Klinik Kesihatan Salak kembali beroperasi seperti biasa selepas dua jam ditutup," katanya.