Jangan takut lapor kes dadah

Shukri Che Wang
Shukri Che Wang
A
A
A

KEPALA BATAS - Usaha memerangi najis dadah bukannya sekadar tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata namun masyarakat secara umumnya perlu mempunyai kesedaran untuk bersama membanterasnya.

Antaranya adalah menyalurkan segera maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai info berkaitan penyalahgunaan dadah yang terdapat di sekitar kawasan kediaman atau kampung mereka diami.

Ikon Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Seberang Perai Utara, Shukri Che Wang berkata masyarakat setempat harus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam usaha memerangi gejala penagihan dadah di peringkat akar umbi.

"Dengan kerjasama yang diberikan masyarakat sekaligus masalah ini dapat diatasi dan dibendung dengan sebaiknya.

"Orang awam tidak harus takut melapor kegiatan penagihan dadah di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kepada Sinar Harian disini semalam.

Katanya, usaha memerangi najis dadah memerlukan kerjasama semua pihak.

"Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja sebaliknya bertanggungjawab melaporkan jenayah itu.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun kini, Kempen Perangi Dadah Habis-habisan 3.0 diteruskan sebagai kesedaran pencegahan dadah, namun ia masih tidak berkesan jika penguatkuasaan tidak diperketat menerusi operasi bersepadu," katanya.

Dalam pada itu, tegasnya apabila pengedar dadah ini tidak dihapus sepenuhnya, kerajaan akan menanggung beban dan kerugian kerana masyarakat selama ini membayar cukai untuk tujuan pembangunan.

"Jadi terpaksa akur jika ia digunakan untuk pusat pemulihan.

"Justeru itu, saya ingin menggesa kepada masyarakat agar sama-sama membantu AADK dalam memerangi najis dadah.

"Sekiranya tuan atau puan mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan dadah di Daerah Seberang Perai Utara, bolehlah salurkan kepada pihak kami, Hubungi 04 574 1741 / 04 574 1739 atau (011 6482 5940) -WhatApps Sahaja," katanya.