Sanggup datang dari jauh semata-mata beli buku di PBAKL

A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak mahu terlepas peluang mendapatkan bahan bacaan membuatkan seorang kerani akaun sanggup menempuh perjalanan jauh untuk datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Najwa Hanim Md Azmi, 35, berkata, dia bertolak dari Yan, Kedah pada jam 11.30 malam dengan menaiki pengangkutan awam untuk sampai ke destinasi yang ditujui.

"Saya tiba di Terminal Bersepadu Selatan pada jam 6.30 pagi dengan menaiki bas dan kemudian menggunakan perkhidmatan e-hailing serta perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT) untuk pergi ke PBAKL.

Najwa Hanim memilih novel pilihannya di reruai Karangkraf sempena PBAKL kali ke-40 di WTCKL pada Jumaat.
Najwa Hanim memilih novel pilihannya di reruai Karangkraf sempena PBAKL kali ke-40 di WTCKL pada Jumaat.

"Ia merupakan pengalaman sangat menyeronokkan walaupun keletihan disebabkan menempuh perjalanan lama, namun tetap bersemangat dan teruja untuk datang ke pesta buku.

"Pilihan pertama sudah tentu singgah ke reruai Karangkraf kerana banyak pilihan mendapatkan semua judul yang dikehendaki selain harga yang sangat berpatutan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Najwa Hanim menambah, setiap tahun dia tidak melepaskan peluang datang ke PBAKL yang menawarkan pelbagai jenis buku dengan harga lebih murah berbanding kedai buku lain.

PBAKL menawarkan pelbagai jenis buku dengan harga lebih murah.
PBAKL menawarkan pelbagai jenis buku dengan harga lebih murah.

Katanya, pandemik Covid-19 telah menyebabkan terdapat kedai buku menutup operasi sehingga memberi kesukaran kepadanya untuk mendapatkan buku yang digemari.

Bagaimanapun, Najwa Hanim berkata, penganjuran pesta buku sedemikian memberi pilihan kepadanya dalam mendapatkan buku yang pelbagai dengan harga promosi dan berpatutan.

Bagi pelajar Universiti Putra Malaysia, Siti Hajar Kamaluddin, 26, dia sudah siap-siap sejak awal pagi kerana tidak sabar dan teruja untuk datang ke PBAKL.

"Saya menaiki pengangkutan awam dan bertolak dari Bangi pada 7 pagi tadi.

"Buku yang ditawarkan di reruai Karangkraf bukan sahaja murah malah banyak pilihan dan terkejut apabila dicaj di bawah RM50 untuk beberapa novel yang dibeli," ujarnya.

PBAKL menawarkan pelbagai jenis buku dengan harga lebih murah.
PBAKL menawarkan pelbagai jenis buku dengan harga lebih murah.

Sementara itu, penjawat awam dari Johor, Shazni Samsuri, 35, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung setiap kali PBAKL diadakan meskipun lokasi pesta buku berkenaan terletak beratus kilometer dari kediamannya.

"Saya ambil kesempatan cuti pada hari ini datang ke Kuala Lumpur beli bahan bacaan terutama buku-buku agama, motivasi dan al-Quran.

"Bukan mudah nak dapat harga al-Quran yang berpatutan. Diskaun sebanyak 10 hingga 15 peratus ditawarkan kepada pembeli sudah semestinya sangat berbaloi kepada kami yang datang dari jauh untuk membeli pelbagai genre buku di sini," jelasnya.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.