X

Kindly register in order to view this article
!

Wuhan jadi 'bandar berhantu'

Keadaan jalan utama di Wuhan yang lengang tanpa kenderaan selepas kesemua jenis pengangkutan digantung di bandar tersebut. dan kafe di sebuah hotel di Wuhan lengang tanpa pengunjung akibat kebimbangan semakin meningkat terhadap jangkitan koronavirus tersebut. - AFP
A
A

BEIJING - Wabak koronavirus membawa maut yang telah menular di seluruh China dan lebih 27 negara dan wilayah yang pertama kali dikenal pasti di bandar Wuhan, wilayah Hubei, mempunyai populasi seramai 11 juta penduduk.

Pihak berkuasa bertindak menguatkuasakan langkah kuarantin selepas kes jangkitan koronavirus itu semakin meningkat pada minggu lalu dan kini mencecah hampir 12,000 kes jangkitan.

Selepas lebih seminggu, keadaan di Wuhan digambarkan seperti ‘bandar hantu’ berikutan ia kini lengang kerana kebanyakan penduduk memilih untuk berlindung di rumah masing-masing.

Malah, semua jenis pengangkutan dari bandar berkenaan digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Pemandangan dari udara menunjukkan bangunan komersial dan kediaman penduduk di Wuhan seperti tidak berpenghuni sejak langkah kuarantin dilaksanakan pada 23 Januari lalu. - AFP
Pemandangan dari udara menunjukkan bangunan komersial dan kediaman penduduk di Wuhan seperti tidak berpenghuni sejak langkah kuarantin dilaksanakan pada 23 Januari lalu. - AFP

Seluruh bandar menjadi senyap sunyi tanpa sebarang aktiviti kerana ramai penduduk bimbang dijangkiti koronavirus.

Kebanyakan penduduk di Hubei juga disarankan oleh majikan mereka supaya bekerja dari rumah sehingga keadaan benar-benar selamat untuk mereka kembali ke pejabat seperti biasa.

Satu-satunya tempat yang sibuk dan sesak ketika ini ialah hospital di seluruh Wuhan yang kini bergelut merawat pesakit-pesakit dijangkiti koronavirus yang mengakibatkan pneumonia.

Pihak berkuasa menyekat laluan keluar bagi mengelakkan penduduk Wuhan meninggalkan bandar tersebut yang menjadi pusat penyebaran wabak membawa maut itu. - AFP
Pihak berkuasa menyekat laluan keluar bagi mengelakkan penduduk Wuhan meninggalkan bandar tersebut yang menjadi pusat penyebaran wabak membawa maut itu. - AFP

Penduduk Wuhan menjadikan media sosial sebagai medium untuk menzahirkan rasa kecewa mereka terhadap langkah kuarantin tersebut.

Ramai yang melihat keadaan di Wuhan seperti dunia sudah berakhir dan ada yang menyamakan situasi tersebut dengan filem malapetaka yang amat dahsyat.

Menurut laporan The Guardian, penduduk di bandar yang menjadi pusat penyebaran koronavirus itu juga bergelut untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi.

Kebanyakan rak di pasar raya dilaporkan mula kehabisan stok, selain bekalan topeng muka di farmasi turut habis dijual.

Penduduk beratur panjang di farmasi di Wuhan untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan. - AFP
Penduduk beratur panjang di farmasi di Wuhan untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan. - AFP

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa kini menggandakan usaha untuk memastikan bekalan yang berterusan dan harga barangan stabil di Wuhan.

“Kami mengelak untuk keluar dari rumah dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng muka dan menggunakan bahan penyahjangkit.

“Tetapi kami bimbang bekalan makanan akan habis. Kami memerlukan lebih banyak sumber, kami perlukan bantuan anda,” keluh seorang pengguna media sosial. - Agensi