Lapan warga China dikuarantin di Johor negatif koronavirus

Aminolhuda ketika berucap pada sidang media berkenaan.
Aminolhuda ketika berucap pada sidang media berkenaan.
A
A
A

KULAI - Kesemua lapan pelancong China yang dikuarantin untuk tujuan pemeriksaan di sebuah hotel di Johor Bahru disahkan negatif jangkitan koronavirus dan berada dalam kesihatan yang baik.

Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada empat dewasa dan empat kanak- kanak itu sudah berada di bandaraya ini sejak 22 Januari.

Menurutnya, keputusan bebas daripada sebarang jangkitan koronavirus disahkan menerusi beberapa ujian klinikal telah dijalankan hari ini.

“Kita menerima makluman daripada Kementerian Kesihatan Singapura semalam bahawa terdapat lapan kenalan rapat seorang pesakit yang disahkan menghidap penyakit ini sudah berada di Johor Bahru untuk bercuti.

“Jadi dengan bantuan itu, kita berjaya mengesan mereka selain usaha pemantauan teliti terus dilakukan.

"Berdasarkan saringan dibuat, kita dapati kesemua mereka adalah sihat dan tidak mempunyai sebarang simptom menghidap penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung maklumat lebih terperinci mengenai wabak berkenaan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, buat masa ini pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari masa ke semasa terhadap kesemua warga asing berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan terus pantau perkembangan kesihatan mereka, sekurang-kurangnya selama 14 hari atau sehingga mereka pulang ke negara masing-masing. Buat masa ini semua masih terkawal.

“Walaupun mereka ini kita tidak letakkan dalam kuarantin, pergerakan mereka masih kita bataskan di kawasan sekitar sahaja untuk elak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.