Dua tahun tangguh belajar demi jaga bapa hidap kanser otak

Muhammad Afif menjaga bapanya yang menghidap kanser otak di Pangsapuri Kampung Tiong, Kuala Terengganu.
Muhammad Afif menjaga bapanya yang menghidap kanser otak di Pangsapuri Kampung Tiong, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penuntut Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sanggup menangguhkan pengajiannya selama dua tahun semata-mata untuk menjaga bapanya yang menghidap kanser otak.

Muhammad Afif Mohd Ezani, 25, mula mendaftar masuk universiti itu pada 2019 sebelum memohon untuk menangguhkan pengajian pada 2022 kerana ibunya, Zaini Yasin, 60 meninggal dunia akibat serangan jantung manakala bapanya, Mohd Ezani Abas, 62 disahkan mengalami kanser otak tahap empat.

Anak keenam itu berkata, keputusan itu diambil memandangkan empat daripada tujuh adik-beradiknya telah berumah tangga, hanya tinggal dia bersama seorang kakak dan adiknya yang masih belajar.

"Pada mulanya saya fikir untuk habiskan sahaja pengajian sebab hanya tinggal setahun lagi, tetapi kalau saya belajar pun rasa tak boleh nak fokus sebab memikirkan keadaan ayah yang sedang sakit.

"Lepas berbincang dengan semua adik beradik saya pun buat keputusan ni. Lagipun waktu tu nak jaga ayah perlu lebih daripada seorang sebab perlukan tenaga untuk angkat dan mandikan dia," katanya ketika ditemui di Pangsapuri Kampung Tiong, di sini, baru-baru ini.

Muhammad Afif memberi bapanya susu ketika dirawat di hospital selepas disahkan mengalami kanser otak tahap empat.
Muhammad Afif memberi bapanya susu ketika dirawat di hospital selepas disahkan mengalami kanser otak tahap empat.

Menurut Muhammad Afif, walaupun agak ketinggalan dan kesemua rakan-rakannya telah menamatkan pengajian dan mula bekerja, dia tidak berasa ralat kerana berpuas hati dapat menjaga bapanya itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya berpuas hati kerana dapat berbakti kepada ayah dan menjaga dia ketika ini. Kalau ikutkan keadaan ayah ni doktor beritahu peluang untuk dia hidup amat tipis.

"Ayah sudah tiada apa-apa rawatan sekarang dan hanya bergantung dengan ubat sahaja. Waktu rawatan terakhir tahun lalu, doktor beritahu jangka hayatnya hanya tinggal beberapa bulan sahaja, namun kami bersyukur sebab ayah masih kuat dan ada dengan kami sehingga kini, "ujarnya.

Muhammad Afif yang mengambil Ijazah Teknologi Pembinaan berkata, dia akan kembali ke universiti pada Oktober depan dan adiknya yang juga belajar di universiti sama akan mengambil alih tugas menjaga bapanya.

"Disebabkan tempoh maksimum universiti benarkan untuk tangguh pengajian hanya selama dua tahun, selepas ini adik bongsu saya yang kini menuntut dalam jurusan Hartanah pula akan tangguh pengajian untuk bergilir jaga ayah,"katanya yang tinggal bersama kakaknya Nur Anis Mohd Ezani, 36.

Muhammad Afif menunjukkan gambar bapanya bersama arwah ibunya ketika masih sihat.
Muhammad Afif menunjukkan gambar bapanya bersama arwah ibunya ketika masih sihat.

Mohd Ezani yang juga pesara guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim pernah membuat rawatan membuang ketumbuhan dakam kepala pada 2020 selain turut mengalami masalah jantung.

"Sebelum ini, ayah pernah buang ketumbuhan dalam kepala, selepas rawatan, dalam setahun ayah sihat dan boleh memandu kereta.

"Selang setahun tu sel kanser kembali menyerang ayah sekitar tahun 2022. Sebelum kena tu dua tiga hari tu sakit gigi, pening kepala dan tidak sedarkan diri sebab kena sawan.

"Lepas hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ayah disahkan hidap kanser tahap akhir," katanya.

Ditanya mengenai bantaun yang diterima, Muhammad Afif berkata, disebabkan ibu dan bapanya merupakan pesara guru, wang yang ditinggalkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Selain itu, katanya, mereka tujuh beradik berpakat dan saling bantu-membantu daripada sudut kewangan.

Bercerita lanjut, Muhammad Afif memberitahu, Mohd Ezani tidak pernah dibiarkan seorang diri di rumah.

"Kami tak akan tinggalkan ayah seorang diri di rumah. Kalau saya keluar, kakak akan berada di rumah untuk akan jaga ayah.

"Kami bimbang kalau ada apa-apa berlaku sebab ayah tidak boleh bangun sendiri, tidak boleh bercakap sepenuhnya dan perlu dibantu sepanjang masa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!