Dua tahun hidup bersedih, Dr Siti Fairuz bangkit demi anak-anak

Siti Fairuz (tengah) pernah berkhidmat dalam bidang ketenteraan.
Siti Fairuz (tengah) pernah berkhidmat dalam bidang ketenteraan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Melihat wajahnya yang ceria, tiada siapa sangka individu ini pernah menyimpan kisah sedih berpanjangan dalam hidupnya.

Kehidupan Dr Siti Fairuz Ab Ghani, 39, yang merupakan doktor gigi berubah selepas suami tercinta Allahyarham Azrul Ab Rashid, 39, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 20 Mac 2022.

Dr Siti Fairuz berkata, dalam tempoh dua tahun selepas itu dia berada dalam fasa kesedihan sehinggalah suatu hari jiwanya tersentak dan tersedar bahawa tidak boleh terus berduka kerana empat anaknya berusia tujuh, sembilan, 12 dan 14 tahun masih memerlukan perhatian serta kasih sayangnya.

Siti Fairuz (dua dari kanan) bersama anak-anaknya ketika mengerjakan umrah pada tahun lalu.
Siti Fairuz (dua dari kanan) bersama anak-anaknya ketika mengerjakan umrah pada tahun lalu.

Menurutnya, selepas mereka sekeluarga pulang dari mengerjakan umrah tahun lalu, dia mula berdamai dengan takdir dan menerima segala ujian ALLAH SWT dengan hati terbuka.

Katanya, jika sebelum ini lebih gemar berkurung dalam rumah selepas pulang dari kerja, namun dengan kekuatan itu dia berani melakukan perubahan demi memastikan anak-anak tidak dipinggirkan dan kehidupan kembali seperti mana ketika arwah suaminya masih ada.

Dr Siti Fairuz (kiri) ketika memberikan rawatan gigi kepada seorang pesakit di kliniknya di Klinik Pergigian Kausar Durian Tunggal.
Dr Siti Fairuz (kiri) ketika memberikan rawatan gigi kepada seorang pesakit di kliniknya di Klinik Pergigian Kausar Durian Tunggal.

"Kalau dulu hampir setiap hari saya memakai jubah berwarna hitam atau gelap seperti tak mampu menguruskan diri, selepas itu saya mula bangkit dan sedar ada tanggungjawab yang harus dipikul.

Artikel Berkaitan:

"Benarlah ALLAH tidak akan uji seseorang itu dengan sia-sia dan inilah sebenarnya peluang untuk perbaiki diri dan mendekatkan diri dengan ALLAH," katanya ketika ditemui di klinik pergigiannya di Pusat Niaga Gangsa, Durian Tunggal di sini, pada Sabtu.

Dr Siti Fairuz berkata, dia mula melakukan perkara yang menggembirakan termasuk sertai aktiviti larian sehinggakan berat badannya turun daripada 82 kilogram (kg) kepada 75 kg bagi melupakan segala kesedihan yang selama ini bermain dalam mindanya.

Katanya, status ibu tunggal bukanlah alasan untuk terus meratapi kematian suami, namun sebenarnya peluang untuk lebih menghargai diri dan mencari kekuatan menguruskan anak-anak serta keluarga.

"Alhamdulillah saya dikelilingi keluarga dan kakitangan yang memahami, dan mereka yang banyak memberi semangat untuk saya bangkit daripada kesedihan," katanya yang menguruskan Klinik Pergigian Kausar Durian Tunggal.

Dia berharap ibu tunggal di luar cekal menghadapi rintangan mendatang dan jangan sesekali mempedulikan kata-kata manusia yang menyakitkan dan toksik.

"Hidup ini pilihan, banyak perkara manfaat yang boleh kita lakukan untuk tidak terus terjatuh termasuk pengisian jiwa dan mentaati perintahNya," katanya yang pernah 10 tahun berkhidmat di kem tentera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!