Kes rasuah dalam Mara terpencil, masih terkawal

Ahmad Sofi (kanan) bersama Maizatul Akmal dan Nurhayati (kiri) sempena sesi taklimat dan penerangan bersama 70 pegawai dan kakitangan Mara Perak, pada Jumaat.
Ahmad Sofi (kanan) bersama Maizatul Akmal dan Nurhayati (kiri) sempena sesi taklimat dan penerangan bersama 70 pegawai dan kakitangan Mara Perak, pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kes rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) masih terkawal terutama yang melibatkan pembiayaan.

Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Sofi Abdullah berkata, dapatan dilakukan menunjukkan, kes-kes yang berlaku adalah terpencil dan bukan melibatkan pendakwaan atau pertuduhan.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan dengan pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan AntiRasuah (ABMS) diterima Mara sejak Februari lalu yang menunjukkan komitmen mereka terhadap perkhidmatan berintegriti.

"Ini menjadi mekanisme dalaman kita untuk mengawal dan mencegah terhadap apa sahaja bentuk dan perkara yang menjurus kepada rasuah.

"Contohnya jika melibatkan pembiayaan, kita ada sistem kawalan untuk meluluskan dana berkenaan kepada yang layak atau sebaliknya," katanya.

Hari terakhir Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua diisi dengan sesi taklimat dan penerangan bersama 70 pegawai dan kakitangan Mara Perak.
Hari terakhir Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua diisi dengan sesi taklimat dan penerangan bersama 70 pegawai dan kakitangan Mara Perak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian dalam program Jelajah Antirasuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) siri kedua di Pejabat Mara Perak di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Mara Perak, Maizatul Akmal Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin.

Artikel Berkaitan:

Program usaha sama Mara dan Rasuah Busters itu bermula pada 10 hingga 14 Jun melibatkan empat MRSM iaitu di Pasir Salak, Parit, Taiping dan Sultan Azlan Shah.

Hari terakhir pula melibatkan sesi taklimat dan penerangan bersama 70 pegawai dan kakitangan Mara Perak.

Ahmad Sofi berkata, pengamalan kepada piawaian tadbir urus yang baik dilakukan di semua peringkat jabatan dan agensi Mara termasuk pengurusan tertinggi.

"Kakitangan Mara ketika ini sudah pun menghampiri 11,400 di seluruh negara dan kita memberikan komitmen tinggi dalam usaha memastikan isu-isu melibatkan integriti ini difahami semua peringkat," katanya.

Pegawai dan kakitangan Mara Perak yang terlibat turut dibekalkan plakad Rasuah Busters sebagai sokongan terhadap program dijalankan.
Pegawai dan kakitangan Mara Perak yang terlibat turut dibekalkan plakad Rasuah Busters sebagai sokongan terhadap program dijalankan.

Mengulas mengenai program MRSM, beliau berkata, pendedahan mengenai isu rasuah dan integriti semakin diterima baik oleh pelajar.

Ujarnya, di peringkat pengajian tinggi, Mara turut melaksanakan inisiatif sama di bawah program kem angkatan mahasiswa antirasuah melibatkan pelajar di Kolej Profesional Mara, Kolej Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

"Pelajar-pelajar ini akan berada bersama masyarakat sebagai pekerja dalam profesion masing-masing. Jadi adalah penting untuk kita memberi kesedaran awal mengenai pentingnya amalan integriti dan menjauhi rasuah," katanya.

Sementara itu, Maizatul Akmal berkata, usaha dilakukan Rasuah Busters adalah satu pendekatan yang baik untuk memberi peringatan secara berterusan kepada warga kerja.

"Integriti ini sesuatu yang bukan statik, tetapi perlu sentiasa diingatkan agar terus tersemat dihati. Jika tidak, lama kelamaan perkara ini dianggap sambil lewa sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!