Kad bank hilang, warga emas dakwa jadi keldai akaun

Zainal menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan kad banknya.
Zainal menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan kad banknya.
A
A
A

TAMPIN - Bimbang dan kecewa. Itu yang mampu diluahkan seorang lelaki warga emas di sini selepas kad bank miliknya hilang sehingga didakwa menjadi mangsa keldai akaun dalam sindiket penipuan.

Lebih memeritkan apabila semua akaun bank, Zainal Ismail, 67, dikenakan sekatan oleh institusi perbankan susulan dikenal pasti terlibat aktiviti penipuan jualan kenderaan dengan harga murah.

Menurutnya, semuanya bermula pada Mac lalu kira-kira jam 12 tengah hari semasa berada di rumahnya, dia mendapati satu kad banknya tiada dalam simpanan.

"Puas saya mencari merata tempat tetapi tidak jumpa, saya syak ia tercicir. Apa yang membimbangkan nombor pin kad ATM (mesin juruwang automatik) itu saya letak di belakang kad bagi memudahkan saya membuat pengeluaran wang.

"Saya bertindak membuat laporan polis pada 1 Mac untuk rujukan pihak bank sebelum ke bank semula pada awal April lepas untuk mengeluarkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tetapi dimaklumkan akaun saya disekat," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Zainal bergantung pendapatannya hasil jualan sayur-sayuran di kebun sebelah rumah dan bantuan JKM sejak tiga tahun lalu.
Zainal bergantung pendapatannya hasil jualan sayur-sayuran di kebun sebelah rumah dan bantuan JKM sejak tiga tahun lalu.

Zainal berkata, berikutan itu dia mengambil keputusan mengeluarkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 dalam akaun bank lain, namun tidak berjaya kerana akaun tersebut turut disekat.

"Saya rujuk semula ke balai polis dan daripada situ saya dimaklumkan nama saya disenarai dalam kes penipuan yang dikesan di Sabah dan Kuala Lumpur. Barulah saya tahu kenapa akaun saya disekat dan saya percaya ia ada kaitan dengan kehilangan kad bank sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Terduduk rasanya, sebab saya tiada pendapatan tetap memandangkan keadaan kesihatan tidak begitu baik selain bergantung kepada jualan sayur-sayuran di kebun sebelah rumah dan bantuan JKM sejak tiga tahun lalu.

"Sekarang keadaan bertambah rumit apabila menjadi mangsa sindiket pula yang didakwa menipu mencecah ribuan ringgit, hendak buat akaun bank baharu pun tidak dapat," katanya yang perlu menyara seorang isteri dan anak lelakinya yang berada di Tingkatan Empat.

Tambah Zainal, kejadian itu juga telah dimaklumkan kepada JKM untuk tindakan lanjut dan berharap pihak berkenaan dapat menyalurkan wang bantuan itu secara tunai buat sementara waktu.

"Saya harap kes saya dapat selesai dalam masa terdekat ini sebab saya bukan orang senang, tidak mahu menyusahkan sesiapa tetapi berharap ada pihak yang dapat membantu sebab saya buntu dan tersepit," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!