Wanita buka klinik gigi swasta tidak berdaftar didenda RM60,000

Tertuduh gagal menunjukkan bukti Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Amalan Pergigian tahunan semasa, sebagai bukti pengamal pergigian berdaftar - Gambar hiasan 123RF
Tertuduh gagal menunjukkan bukti Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Amalan Pergigian tahunan semasa, sebagai bukti pengamal pergigian berdaftar - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang wanita menyediakan khidmat klinik pergigian swasta di sebuah rumah minggu lalu, tanpa pendaftaran di Majlis Pergigian Malaysia (MPM) mengundang padah, apabila dia didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Nurul Maisarah Mazelan, 30, dikenakan denda RM30,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku bersalah atas dua kes yang dibaca di hadapan Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Noor.

Mahkamah memerintahkan Nurul Maisarah selaku orang kena saman (OKS) dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 di sebuah rumah dua tingkat di Taman Desiran Bayu, Puchong di sini pada jam 2.52 petang, 7 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 yang boleh dihukum bawah Seksyen 62(3) akta sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan di bawah seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum bawah subperenggan 5(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, penguatkuasa dari Unit Penguatkuasaan, Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyerbu lokasi kejadian mendapati, OKS menjalankan rawatan pergigian ke atas seorang wanita.

Artikel Berkaitan:

Ketua serbuan meminta Nurul Maisarah menunjukkan bukti Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Amalan Pergigian tahunan semasa, sebagai bukti OKS sebagai pengamal pergigian berdaftar, namun dia gagal.

Siasatan lanjut juga mendapati premis itu tidak berdaftar sebagai sebuah klinik pergigian malah semakan MPM menemui bahawa OKS bukan seorang pengamal pergigian.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Faryna Md Yaakub sementara OKS diwakili peguam, Fitra Qalbi Hatta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!