Panggil pakar tulisan tangan, cubaan Najib tangguh prosiding

Najib (tiga dari kiri) beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd semalam.
Najib (tiga dari kiri) beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan mempersoalkan tindakan pihak pembelaan yang memohon untuk mendapatkan pakar bagi meneliti ketulenan tanda tangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada dokumen SRC International Sdn Bhd pada saat akhir perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V Sithambaram berkata, tindakan pemohon (Najib) yang menunggu sehingga peringkat akhir perbicaraan untuk mendapatkan pengesahan daripada pemeriksa dokumen menunjukkan permohonan itu dibuat selepas difikirkan semula dan merupakan muslihat taktikal untuk menangguhkan prosiding.

“Sebelum ini, Najib mengakui ada menandatangani sendiri dokumen SRC ketika memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketika itu, tidak timbul isu tanda tangan pada dokumen itu boleh atau telah dipalsukan.

“Sebab itulah pihak pendakwaan tidak memanggil pakar untuk mengesahkan dokumen itu, tetapi mereka (pembelaan) menimbulkan isu ini selepas kami tutup kes,” katanya.

Dalam perbicaraan hari ke-70 hari ini, Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib mengemukakan permohonan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali supaya dilakukan pemeriksaan ke atas tandatangan pada dokumen SRC berkenaan bagi menentukan ketulenannya.

Dokumen itu diambil oleh pihak pendakwa bagi membuktikan kes prima facie terhadap tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta dari SRC International yang didakwa melibatkan bekas Perdana Menteri itu yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Pada 4 Julai 2018, Najib didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kemudian pada 8 Ogos 2018, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah daripada dana sama.

Artikel Berkaitan:

Najib didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok.