[VIDEO] Hamidan duduki semula SPM pada usia 59 tahun

A
A
A

PADANG BESAR - Ingin mengulangi nostalgia dan merasai kembali debaran masuk ke dewan peperiksaan menyebabkan seorang penjawat awam berusia 59 tahun menjadi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Hamidan Yahaya, 59, yang memperoleh B+ bagi subjek Sains itu berkata, dia juga ingin mencabar diri dengan belajar sendiri subjek yang didaftarkan tanpa bimbingan guru.

Katanya, kali pertama dia menduduki SPM kira-kira 42 tahun lalu dan hanya memperoleh pangkat tiga.

"Kemudian tahun 2022, saya ambil subjek Matematik, Alhamdulillah dapat A dan kali ini saya ambil subjek Sains pula.

"Insya-ALLAH, bulan Jun nanti saya akan mendaftar subjek Pendidikan Islam pula bagi SPM tahun 2024," katanya.

Menurutnya, sepanjang dua kali menduduki semula peperiksaan SPM, dia hanya belajar sendiri tanpa bimbingan daripada guru atau panduan daripada media sosial.

Hamidan menunjukkan keputusan SPM bagi subjek Sains yang diperolehinya.
Hamidan menunjukkan keputusan SPM bagi subjek Sains yang diperolehinya.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya belajar melalui buku, buat latihan kemudian tengok jawapan di belakang, saya tak ada cikgu, tak ada tuisyen, tak tengok Google atau TikTok sebab saya pun guna telefon bimbit biasa sahaja," katanya ketika ditemui di Chuping, Padang Besar di sini pada Selasa.

Hamidan yang bertugas sebagai pemandu awam Kementerian Pertahanan di Rejimen 504, Kem Bukit Keteri di sini berkata, dia turut mendapat sokongan daripada keluarga termasuk anak-anak dan isteri.

"Saya tak pernah menyesal ambil semula SPM walaupun kena belajar sendiri dan keputusan saya pun ada A ada B.

"Malah saya bercadang untuk ambil semua subjek SPM termasuk Geografi dan Sejarah, Matematik pun saya nak ulang semula sebab soalan setiap tahun tidak sama," katanya.

Ketika mengimbau kembali saat menduduk peperiksaan terbabit tahun lalu, bapa kepada lima anak itu berkata, ramai pihak menyangka dia datang ke sekolah untuk menghantar anaknya.

"Sampai di hadapan pagar sekolah (Sekolah Menengah Agama Arau) pengawal keselamatan tanya saya, pak cik mai (datang) buat apa? Bila saya tunjuk slip menduduki peperiksaan, pengawal itu terkejut.

"Kiranya pada hari itu saya jadi tumpuan kerana mereka ingat waris yang hadir sampai ke dewan peperiksaan," ujarnya.

Hamidan yang berkhidmat di kem terbabit sejak tahun 2000 berkata, dia berharap kisahnya mengambil semula SPM dapat dijadikan semangat kepada anak muda di luar sana.

"Saya dengar ada lebih 10,000 pelajar tidak menduduki SPM pada 2023, sepatutnya ambil la peluang ini sebab usia muda adalah untuk belajar.

"Jangan banyak buang masa dan lalai, dan jangan pernah takut dengan kegagalan lepas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!