Pengorbanan arwah ibu jadi inspirasi raih 11A SPM

Nurhidayah menunjukkan keputusan cemerlang 11A dalam SPM 2023 yang diperolehnya.
Nurhidayah menunjukkan keputusan cemerlang 11A dalam SPM 2023 yang diperolehnya.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pelajar Sekolah Maahad Pontian, Nurhidayah Murad, 18, terkilan kerana ibunya tidak dapat bersama meraikan kejayaannya yang mendapat keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Nurhidayah yang memperoleh keputusan 4A+, 6 A dan satu A- berkata, ibunya, Halilah Abd Kadir meninggal dunia pada 3 Mac 2019 selepas setahun berjuang melawan kanser usus banyak berkorban untuk dirinya dan dua abangnya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ibunya yang merupakan ibu tunggal juga amat menitikberatkan pelajaran anak-anak.

"Semasa sakit, ibu tidak pernah ketinggalan memberi semangat kepada anak-anak supaya menjadi insan berilmu. Ibu kerap menasihati kami supaya belajar bersungguh-sungguh.

"Selepas ibu meninggal dunia, saya tetap berpegang kepada nasihatnya dan bangkit selepas ketiadaannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Nurhidayah berkata, pengorbanan dan pesanan ibunya itu menjadi inspirasi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM serta terus melangkah dalam kehidupan.

"Anak yatim seperti saya perlu menggandakan usaha untuk berjaya kerana perjalanan kami bukan mudah.

"Alhamdulillah insan di sekeliling saya termasuk abang, kakak ipar, rakan dan guru sentiasa mendoakan kesejahteraan saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur mencapai keputusan 11A dan mahu menghadiahkan kepada arwah ibu dan ahli keluarga. Ini semua adalah berkat menumpukan perhatian dalam kelas dan sentiasa mendapatkan bantuan guru sekiranya menghadapi masalah dalam pelajaran," ujarnya.

Nurhidayah juga mendedahkan dia tidak mempunyai formula khas untuk belajar, namun sentiasa yakin, rajin mengulang kaji pelajaran serta memenuhi masa dengan aktiviti bermanfaat selain tidak tinggal solat dan sentiasa berbuat baik dengan semua orang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!