'Sedih tak dapat kongsi kejayaan bersama ibu, bapa'

Razak bersama isterinya, Halijah hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh berita kejayaan anaknya meraih keputusan cemerlang SPM 2023.
Razak bersama isterinya, Halijah hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh berita kejayaan anaknya meraih keputusan cemerlang SPM 2023.
A
A
A

JENGKA - " Sedih sebab tak dapat kongsi kejayaan bersama ibu, bapa,". Demikian luahan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24, Muhammad Alimie Razak,18, selepas meraih keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada Isnin.

Muhammad Alimie berkata, bapanya, Razak Daud, 64, yang juga Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka bersama ibunya, Halijah Abd Jalil, 63, kini berada di Makkah untuk menunaikan ibadah haji pada 22 Mei lalu.

Begitupun dia gembira dan bersyukur kerana berjaya meraih keputusan cemerlang dengan meraih 4A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Tasawwur Islam dan 4A (Matematik,Sains, Perniagaan, Pertanian) manakala 1A- untuk Pendidikan Agama Islam.

"Apa-apa pun saya bersyukur kerana berjaya meraih keputusan ini selepas mendapat 7A 2B pada peperiksaan percubaan lalu.

"Saya menyifatkan kejayaan ini berkat sokongan ibu bapa, keluarga serta pihak sekolah yang banyak membantu selama ini dengan mengadakan banyak kelas tambahan," katanya berhasrat menjadi seorang pendidik.

Ditanya rahsia kejayaannya, Muhammad Alimie berkata, dia memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas serta rajin bertanyakan kepada guru-guru jika tidak memahami sebarang subjek yang dipelajari.

Sementara itu, Razak ketika dihubungi bersyukur apabila menerima berita kejayaan anak bongsu daripada lapan beradik itu.

"Saya terima berita ini ketika berada di Madinah... Saya bersyukur sangat kerana dia mendapat keputusan yang cemerlang dan membanggakan sekolah serta keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Jasa guru di sekolah berkenaan sangat besar kepada kami dan anak dengan pelbagai perancangan dan kelas tambahan dibuat pihak sekolah dalam memastikan semua pelajar mendapat ilmu yang bermanfaat," jelasnya yang juga ketua peneroka Felda Jengka 24.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!