'Ikrar ubi kentang dan kacang pis,rupanya seludup ayam sejuk beku' - Kastam

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan daging ayam sejuk beku yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Mohd Nasir (tengah) menunjukkan daging ayam sejuk beku yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Taktik penyeludup menggunakan maklumat palsu untuk menyeludup sembilan kontena daging ayam sejuk beku gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila berjaya dikesan menerusi mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar dekat sini.

Daging ayam bernilai RM2.75 juta itu berjaya dirampas pada 7 Mei lalu oleh pasukan serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah selepas menerima maklumat berhubung kemasukan barang terbabit.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah JKDM, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan itu dibuat hasil kerjasama Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu dan Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar.

"Dalam pemeriksaan tersebut terdapat 19 kontena sejuk beku disyaki berisi daging ayam beku yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

"Hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas terdapat sembilan kontena berisi daging ayam sejuk beku didapati berbeza daripada dokumen yang diikrar iaitu sayur-sayuran jenis ubi kentang dan kacang pis hijau," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Sepanggar pada Selasa.

Beliau dalam pada itu turut mendedahkan penyeludup melakukan kegiatan itu bukan sahaja kerana mahu mengelak daripada membayar cukai tetapi turut mengelak daripada prosedur pengesahan halal.

"Daging ayam antara makanan yang membawa banyak keuntungan jadi ada pihak cuba mahu mengelak daripada dikenakan cukai.

"Selain itu banyak prosedur perlu dipatuhi termasuk sijil halal untuk membawa masuk daging ayam ke negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan rampasan itu, Mohd Nasir berkata, pihaknya mendapati cukai dan duti yang dikesan melibatkan sebanyak RM550,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

"Bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar atau dipenjara tidak kurang daripada enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!