Kastam rampas skuter elektrik, rokok, besi, plastik sekerap bernilai RM121.65 juta

Norlela
Norlela
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) menumpaskan sindiket penyeludupan skuter elektrik terpakai, beedi, rokok, besi dan plastik sekerap dianggarkan bernilai RM121.65 juta menerusi beberapa serbuan di sekitar Pelabuhan Klang pada Mac hingga April lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, bagi rampasan skuter elektrik terpakai pasukannya menemukan barangan tanpa permit import itu setelah menyita sebuah kontena di Pelabuhan Utara pada 20 Mac.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 700 unit skuter elektrik dengan anggaran nilai dan duti sebanyak RM573,000.

"Siasatan mendapati pengikraran tidak benar dibuat ke atas barangan itu sebagai aluminium alloy iaitu barangan yang tidak tertakluk kepada permit import bagi mengelak dikesan pihak Kastam.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a), Akta Kastam 1967 yang jika disabit bersalah boleh dihukum denda, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Bagi rampasan beedi atau rokok daun, Norlela berkata, 500,000 batang beedi dengan anggaran nilai dan duti sebanyak RM12.5 juta dirampas dengan sindiket mengikrar barangan itu sebagai produk makanan.

Beliau berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Utara Klang pada 15 April dan berdasarkan Akta Kastam 1967 mereka yang didapati bersalah boleh dihukum denda, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berhubung kes rokok, Norlela berkata, JKDM Selangor pada 19 Mac dan 2 April memeriksa 11 kontena di Pelabuhan Barat dan menemukan serta merampas barangan larangan tersebut dengan anggaran nilai dan duti sebanyak RM102.8 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana disyaki gagal mematuhi syarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 iaitu tidak mempunyai permit import untuk rokok transit di pelabuhan berkenaan.

Bagi kes besi sekerap pula, Norlela berkata, JKDM Selangor telah merampas 34 kontena dengan anggaran nilai berjumlah RM5.3 juta di Pelabuhan Barat yang dipercayai tidak mempunyai permit import sah dengan barangan itu diikrarkan sebagai aluminium flakes dan aluminium alloy.

"Untuk kes plastik sekerap pula JKDM Selangor menahan enam kontena dengan anggaran nilai berjumlah RM355,102 yang turut tidak mempunyai import dan diikrar tidak benar sebagai plastik dan PE Flakes," katanya. Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!