Kastam rampas kokain RM10.3 juta disorok dalam penyaman udara kontena

Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Menara Kastam Johor pada Isnin. Foto Bernama
Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Menara Kastam Johor pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas merampas 51 kilogram kokain bernilai RM10.3 juta yang disembunyikan dalam penyaman udara sebuah kontena membawa bawang di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada 15 Mei lepas.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, rampasan dilakukan pada 2.45 petang oleh sepasukan pegawai Cawangan Narkotik JKDM Johor selepas menerima maklumat daripada Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM.

Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Menara Kastam Johor, pada Isnin. Foto Bernama
Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Menara Kastam Johor, pada Isnin. Foto Bernama

Beliau berkata, kontena terbabit yang dipercayai dari China dan dalam perjalanan ke Sarawak, diikrar membawa 2,900 bungkusan barang dagangan bawang segar.

"Hasil pemeriksaan rapi menemukan 50 bungkusan plastik yang di dalamnya berisi serbuk mampat berwarna putih dan pengesahan awal mendapati ia adalah kokain yang disembunyikan di ruang penyaman udara kontena itu.

"Kita percaya modus operandi adalah dengan cuba menyeludup dadah yang disembunyikan di kontena sejuk beku untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes lain, Aminul Izmeer berkata, pihaknya merampas 135 tan daging sejuk beku bernilai RM2.14 juta yang dipercayai diseludup pada 21 Mei lepas.

Artikel Berkaitan:

Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan cecair rokok elektrik yang dirampas pada sidang media di Menara Kastam Johor, pada Isnin.
Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan cecair rokok elektrik yang dirampas pada sidang media di Menara Kastam Johor, pada Isnin.

Beliau berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap lima lori di Lebuhraya Pasir Gudang dan Cawangan Import Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

"Muatan daging itu dipercayai melibatkan daging khinzir, lembu dan ayam yang didapati tidak diikrar serta tidak mempunyai permit,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai daging sejuk beku dipercayai diseludup pada sidang media di Menara Kastam Johor, pada Isnin. Foto Bernama
Aminul Izmeer (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai daging sejuk beku dipercayai diseludup pada sidang media di Menara Kastam Johor, pada Isnin. Foto Bernama

Menurut Aminul Izmeer, pihaknya turut merampas 70,000 peranti rokok elektronik dan cecairnya yang dianggar bernilai RM805,200 selepas menyerbu sebuah premis di Ampang, Selangor pada 14 Mei lepas.

"Kesemua peranti rokok elektronik dan cecair pelbagai jenama itu dirampas kerana dipercayai tidak bercukai serta melanggar peruntukan Akta Kastam 1967,” katanya.

Usaha mengesan pemilik premis berkenaan, katanya sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!