Air sungai berubah warna seperti susu getah

Tangkap layar video yang menunjukkan warna air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk di Taman Bandar Senawang.
Tangkap layar video yang menunjukkan warna air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk di Taman Bandar Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Putih seakan susu getah. Itu keadaan air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk D'Latania Taman Bandar Senawang di sini, pada Ahad.

Kejadian itu disedari mereka kira-kira jam 10 pagi, namun tinjauan Sinar Harian pada jam 3 petang mendapati warna putih berkenaan sudah tiada.

Bagaimanapun air sungai terbabit mengeluarkan bau yang boleh memeningkan kepala iaitu seperti bahan kimia.

Mohd Khir (kanan) dan Zanifol menunjukkan keadaan air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk.
Mohd Khir (kanan) dan Zanifol menunjukkan keadaan air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk.

Penduduk, Mohd Khir Johari, 43, berkata, biasanya air sungai di belakang rumahnya itu jernih tetapi telah berubah menjadi warna putih seperti susu.

"Kira-kira jam 10 pagi tadi jiran saya maklumkan air di sungai itu berwarna putih, katanya mungkin ada pencemaran.

"Saya kemudiannya pergi tengok dan ternyata warna sungai itu putih seperti susu getah, tapi ia tak berbuih," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar menerusi talian hotline Jabatan JAS sebelum beberapa pegawai agensi terbabit turun ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, apa yang membimbangkan sungai tersebut kini mula mengeluarkan bau yang memeningkan seolah-olah mengandungi bahan kimia.

"Kami bimbang ia disebabkan pencemaran atau bahan yang kritikal, jadi berharap pihak berkuasa dapat menyiasat punca dan jenis bahan yang mencemari air ini," katanya.

Pengerusi KRT D'Latania Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmad pula berkata, kali pertama kejadian seumpama itu berlaku empat tahun lalu sehingga ada penduduk yang terpaksa menyewa hotel kerana tidak tahan dengan bau tersebut.

Dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada kilang berhampiran yang membuang sisa buangan mereka ke dalam longkang sebelum mengalir ke sungai.

"Sebelum ini keadaan agak kritikal juga sehingga menyebabkan ada kanak-kanak yang sesak nafas malah ada yang terpaksa berpindah keluar buat sementara waktu.

"Setakat jam 3 petang ini, tiada lagi yang mengadu alami sesak nafas. Tapi kita harap ia tak jadi semakin serius," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata, sejurus mendapat aduan daripada penduduk, tindakan lanjut telah pun diambil.

"Kami sudah mengambil sampel air dan tindakan selanjutnya akan dijalankan untuk menyiasat punca pencemaran dan jenis bahan terkandung di dalam air berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!