Dari roti canai ‘biawak’ ke burger canai

Kamarulrizal banyak menghasilkan menu berlainan kerana gemar melakukan eksperimen terhadap roti canai.
Kamarulrizal banyak menghasilkan menu berlainan kerana gemar melakukan eksperimen terhadap roti canai.
A
A
A

KUALA PILAH – Pernah mencetuskan perhatian ramai dengan nama menu unik seperti roti canai ‘biawak’ dan ‘ular’, seorang pengusaha warung di sini sekali lagi mencuri tumpuan apabila burger canainya kembali tular di media sosial.

Pemilik Warung Abang Terbang, Kamarulrizal Kamarudin, 46, berkata, idea menghasilkan menu luar biasa itu lahir daripada minatnya bereksperimen dengan roti canai selepas bertahun-tahun bekerja dan menjual makanan tersebut.

Menurutnya, sebelum burger canai menjadi sebutan, pelanggan sudah mengenali kedainya melalui pelbagai menu kreatif yang dihasilkan menggunakan asas roti canai.

“Dulu saya buat roti canai ular, roti canai biawak dan macam-macam lagi. Saya suka tengok kandungan masakan luar negara, kemudian saya cuba olah ikut cara sendiri dan menu ini masih ada di warung saya.

“Alhamdulillah, menu-menu yang dihasilkan ini mempunyai peminatnya tersendiri selain menu sedia ada,” katanya kepada Sinar Ahad.

Kamarulrizal menjelaskan, burger canai sebenarnya bukan menu baharu kerana ia sudah diperkenalkan sejak tahun 2023, namun kembali mendapat perhatian selepas menu itu seakan-akan sama popular di luar negara.

Katanya, setiap menu baharu akan diuji terlebih dahulu sebelum dijual kepada pelanggan. Sekiranya mendapat sambutan, barulah ia dijadikan menu tetap di warung.

“Apa-apa makanan berasaskan tepung, kalau boleh guna roti canai saya akan cuba buat. Kalau sedap dan orang suka, baru saya jual.

“Burger canai ini isinya ada dua lapis daging sama ada ayam, daging atau campuran ayam dan daging, ditambah dengan keju, sos, dibalut telur dan sayur,” katanya yang turut membuka gerai martabak Singapura di Bazar Ramadan Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

Warung yang dibuka secara serius selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 itu kini menawarkan lebih 30 jenis roti canai termasuk variasi moden dan klasik.

Walaupun menu itu menjadi tular, Kamarulrizal tetap mengekalkan harga mampu milik sekitar RM10 bagi burger canai supaya semua golongan dapat mencubanya.

Baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar tular, tetapi melihat pelanggan kembali semula menikmati hasil air tangannya.

Ringkasan AI

  • Warung Abang Terbang terkenal dengan menu roti canai unik seperti biawak dan ular
  • Pemilik, Kamarulrizal Kamarudin, bereksperimen dengan roti canai berdasarkan minatnya
  • Burger canai yang mengandungi dua lapis daging dan keju menjadi tumpuan di media sosial
  • Menu baharu seperti burger canai diuji dulu sebelum jadi menu tetap
  • Warung menawarkan lebih 30 jenis roti canai dengan harga mampu milik sekitar RM10

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!