Air berubah warna 'susu getah' berpunca daripada kilang

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SEREMBAN - Air berwarna putih seakan susu getah yang mengalir dalam longkang di belakang rumah penduduk di D'Latania Taman Bandar Senawang dekat sini berpunca daripada sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Senawang.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuat rondaan dan siasatan setelah menerima aduan.

"Pasukan rondaan membuat siasatan ke Persiaran Bunga Tanjung 2, Kawasan Perindustrian Senawang dan menyusuri longkang awam berhampiran sebelum masuk ke Taman Bandar Senawang.

"Selepas menyusuri longkang awam, didapati terdapat kesan-kesan air putih yang berpunca daripada sebuah premis industri. Siasatan di dalam premis mendapati air putih yang terhasil berpunca daripada longkang di dalam kerja produksi 'wet milling process' (proses pengilangan basah)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, premis terbabit tidak mempunyai sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) dan menggunakan semula air untuk kegunaan basuhan mesin 'wet mill'.

Tambahnya, premis berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan mana-mana punca yang menghasilkan pengeluaran air putih serta merta.

"Premis itu juga diarahkan untuk membuat pembersihan longkang tanpa membuat pelepasan ke longkang awam.

"Premis telah diambil satu set persampelan efluen perindustrian (EP) dan satu set persampelan buangan terjadual (BT) di dalam premis. Satu set persampelan BT juga diambil di aliran longkang awam sebelum masuk ke taman perumahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut mengesyorkan siasatan susulan bagi tindakan perundangan berkaitan pencemaran itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk berhubung perkara itu ditambah pula air sungai terbabit mengeluarkan bau yang boleh memeningkan kepala iaitu seperti bahan kimia.

Pengerusi KRT D'Latania Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmad berkata, kali pertama kejadian seumpama itu berlaku empat tahun lalu sehingga ada penduduk yang terpaksa menyewa hotel kerana tidak tahan dengan bau tersebut.

Beliau mengesyaki kejadian itu berpunca daripada kilang berhampiran yang membuang sisa buangan mereka ke dalam longkang sebelum mengalir ke sungai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!