LKIM, AKSB bincang isu bekalan air bersih di Tok Bali

Pelayaran sungai dengan menaiki bot nelayan tradisional di Pulau Gajah, Kota Bharu. Gambar kecil: Muhammad Faiz Fadzil
Pelayaran sungai dengan menaiki bot nelayan tradisional di Pulau Gajah, Kota Bharu. Gambar kecil: Muhammad Faiz Fadzil
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengadakan pertemuan dengan pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mencari penyelesaian berkait masalah kekurangan bekalan air bersih untuk penghasilan ais kepada nelayan di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali, Pasir Puteh.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pertemuan itu dilakukan minggu lalu bagi mencari penyelesaian segera dalam memastikan pendaratan ikan di lokasi terbabit tidak terjejas.

“Nelayan di Tok Bali berdepan dengan isu bekalan ais kerana berdepan masalah bekalan air tidak cukup dan ini adalah masalah umum di Kelantan.

“Kami berjumpa dengan AKSB untuk mereka mengambil langkah memastikan bekalan itu mencukupi selain konsisten kerana tanpa ais, akan menyebabkan kesegaran ikan terjejas,” katanya selepas Merasmikan Program Jualan Agro Madani dan Pelancaran Projek Agrotourism Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Bharu di Pasar Nelayan Pulau Gajah di sini pada Sabtu.

Muhammad Faiz (dua dari kiri) mencuba pelayaran sungai dari Jeti Pulau Gajah.
Muhammad Faiz (dua dari kiri) mencuba pelayaran sungai dari Jeti Pulau Gajah.

Turut hadir, Pengarah LKIM Negeri Kelantan, Sobri Ibrahim.

Menurut Muhammad Faiz, masalah tersebut bagaimanapun sedang dalam tindakan penyelesaian seperti penghantaran lori tangki air oleh pihak AKSB.

“AKSB menghantar lori untuk mengangkut air dan saya berharap kerajaan negeri akan turut sama mencari solusi jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

“Bekalan air yang cukup bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi bagi memastikan industri perikanan di negeri ini berjalan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, LKIM juga dalam usaha memperkasa ekonomi nelayan melalui Projek Agrotourism melibatkan 53 PNK di seluruh negara dan termasuk Projek Agrotourism PNK Kota Bharu bernilai RM41,000.

“Di kawasan Pulau Gajah ini terdapat nelayan yang memiliki bot-bot tradisional berukiran unik.

“Mereka menjana ekonomi sampingan dengan mewujudkan pelayaran sungai yang dibuka kepada orang ramai untuk tujuan pelancongan, melihat dan menikmati panorama sekitar Sungai Pengkalan Datu dari Jeti Pulau Gajah dengan caj RM5,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!