MVA gesa kerajaan laksana peraturan galak perokok beralih kepada vape

Gambar hiasan. Gambar kecil: Khairil Azizi
Gambar hiasan. Gambar kecil: Khairil Azizi
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Vapers Alliance (MVA) menggesa kerajaan melaksanakan peraturan yang wajar untuk menggalakkan perokok beralih kepada penggunaan rokok elektronik atau vape sebagai alternatif mengurangkan populasi perokok di Malaysia.

Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata, laporan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 jelas menunjukkan vape memainkan peranan penting untuk membantu perokok mengurangkan atau berhenti daripada tabiat tersebut.

"Peningkatan jumlah penghisap vape dan kepelbagaian produk berperisa buah-buahan menunjukkan keperluan untuk wujudkan peraturan yang boleh menyokong perubahan (perokok kepada vape) dan bukannya menghalang trend positif ini.

"Kami menggesa kerajaan mengiktiraf vape sebagai alternatif mengurangkan bahaya merokok dan melaksanakan dasar yang memberi keutamaan serta keperluan penggunaan rokok elektronik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu GATS 2023 mendedahkan jumlah perokok di negara ini menurun daripada 23 peratus pada 2011 kepada 19 peratus tahun lalu, selain bilangan penghisap vape turut meningkat kepada 5.8 peratus (2023) daripada 0.8 peratus (2011).

Tinjauan tersebut turut mendapati vape merupakan alat kedua paling disukai perokok sebagai alternatif untuk berhenti daripada tabiat tersebut.

Dalam pada itu Khairil Azizi menjelaskan, MVA bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan lain bagi membangunkan peraturan yang boleh melindungi kesihatan awam di samping menyokong perokok untuk berhenti dari tabiat itu.

"(Dengan) Peraturan vape yang wajar dan disesuaikan dengan tingkah laku serta pilihan pengguna, amat penting untuk mengekalkan trend positif berkenaan ke arah mengurangkan penggunaan tembakau di Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan: