Mayat warga asing ditemui terapung di Tasik Shah Alam

Anggota forensik dan petugas perubatan memeriksa mayat yang dipercayai warga asing ditemukan terapung di Tasik Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada Rabu. - Foto: PDR
Anggota forensik dan petugas perubatan memeriksa mayat yang dipercayai warga asing ditemukan terapung di Tasik Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada Rabu. - Foto: PDR
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki terapung di Tasik Shah Alam dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian terbabit pada jam 8.19 pagi daripada orang awam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki warga asing.

"Pihak polis juga percaya mangsa merupakan warga asing kerana tidak mempunyai suntikan BCG (bacille Calmette-Guerin) di bahu sebelah kiri.

"Mayat mangsa dijumpai berpakaian lengkap dalam keadaan terlangkup," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal berkata, hasil pemeriksaan pihak forensik Selangor ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan luka melecet pada leher di sebelah kanan dan kiri, selain luka kecil pada pipi dan hidung.

Begitupun katanya, tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematian.

Mohd Iqbal berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah laporan kematian mengejut (SDR).

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-5113584," ujarnya.