[VIDEO] Anak MB Perlis mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu

A
A
A

KANGAR - Anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19,505.10 pada Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, pada 19 Februari lalu, di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kangar, tertuduh telah memberi kepada seorang ejen iaitu Nurul Nabilah Mohd Sukri yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya, satu dokumen iaitu Pesanan Kerajaan (Bekalan Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis No. Dokumen 24AYPT0300022 bertarikh 14 Februari berjumlah RM19.505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid.

Dokumen terbabit berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan DYMM Tuanku Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah.

Dokumen berkenaan mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran palsu, yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu bernilai lebih RM19,000 di Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu bernilai lebih RM19,000 di Mahkamah Sesyen pada Khamis.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit hukuman, tertuduh yang telah berkahwin itu boleh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.

Dalam rayuan, peguam tertuduh memohon jumlah jaminan RM30,000 dikurangkan dengan mengambil kira pendapatan tertuduh sebanyak RM1,500 sebulan dari hasil berniaga gas petroleum cecair (LPG) dan mengerjakan sawah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Tertuduh difahamkan membayar wang jaminan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Jun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!