‘Kuat kuasakan Perkara 14.14 Bersatu’ - Wan Saiful

Tangkap layar hantaran Wan Saiful di Facebook pada Selasa.
Tangkap layar hantaran Wan Saiful di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan tiada keperluan untuk mengadakan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden.

Beliau berkata, sebaliknya Bersatu perlu menguatkuasakan Perkara 14.14 perlembagaan parti bahawa MPT boleh memberikan kelonggaran kepada mana-mana individu yang belum layak tetapi diperlukan untuk menggalas amanah jawatan tertinggi.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, ia kerana Perkara 13.7 Perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa syarat kelayakan lima jawatan tertinggi parti mesti daripada kalangan ahli biasa yang telah memegang jawatan sama ada MPT atau ketua bahagian selama lengkap dua penggal.

“Perkataan ‘lengkap’ menyebabkan ada yang tidak layak. Sekiranya kelonggaran melalui Perkara 14.14 tidak dikuatkuasakan, maka akan berlaku situasi pelik dalam parti.

“Datuk Seri Ronald Kiandee mungkin tak layak mempertahankan jawatan naib presiden, beliau hanya diberi kelonggaran melalui Perkara 14.14 dalam pemilihan lepas.

“Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin juga mungkin tak layak, semangat mahabbah pemukiman MPT dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin akan jadi tidak relevan kerana hanya Datuk Seri Faizal Azumu yang layak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat desakan kuat daripada akar umbi parti berkenaan yang mahu nama lima pemimpin tertinggi digugurkan bagi memberi laluan kepada pelapis baharu semasa pemilihan September depan.

Wan Saiful turut menjelaskan, seluruh peringkat kepimpinan Bersatu sama ada di cawangan, bahagian, negeri atau pusat bersepakat ingin Muhyiddin terus menerajui parti dan tiada sebarang pertikaian dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, bekas Perdana Menteri tersebut beberapa kali menyebut mengenai kepentingan mempunyai bakat kepimpinan dalam parti yang disusun secara teratur sebagai persediaan menghadapi era selepasnya.

“Kita sudah sebulat suara mengenai perlunya Muhyiddin meneruskan tanggungjawab sebagai presiden.

“Persoalan yang timbul kini ada dua, iaitu bagaimana cara terbaik untuk parti memilih barisan tonggak bagi menyokong kepimpinan Muhyiddin dan memastikan tangannya tidak diikat.

“Walaupun masih muda, Bersatu mempunyai tokoh berbakat untuk memimpin tatkala banyak parti lain ketandusan pelapis, kita perlu buka ruang untuk mereka,” ujar Wan Saiful lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!