KKM perlu rangka peraturan kawal selia kandungan vape - Wan Saiful

Wan Saiful. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Wan Saiful. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya merangka peraturan khas bagi mengawal selia kandungan vape yang dijual dalam negara ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara yang telah mula menguatkuasakan peraturan untuk mengawal bahan yang terkandung dalam cecair vape.

Menurutnya, perkara tersebut penting bagi memastikan kandungan cecair yang digunakan adalah selamat dan tidak memudaratkan pengguna.

“Hari ini saya telah menghantar satu surat kepada Menteri Kesihatan dan surat yang sama disalinkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan di Parlimen.

“Dalam Kesatuan Eropah, setiap kartrij hanya dibenarkan mengandungi dua mililiter (ml) cecair vape, manakala kandungan nikotin pula tidak lebih dari 20 miligram (mg) per ml.

“Negara kita tidak mempunyai peraturan seperti ini dan ia perlu diperkenalkan segera,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Dewan Rakyat pada 30 November tahun lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

RUU tersebut dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 28 November lalu antara lain menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Wan Saiful, setakat ini tiada peraturan yang dikenakan untuk mengawal bahan yang digunakan dalam cecair vape.

Ujarnya, melalui Akta Kawalan Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, kerajaan tidak boleh terus berdalih untuk memperkenalkan peraturan yang lebih ketat.

“KKM mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Ramai pihak yang menghubungi saya dan mereka bersetuju jika negara mempunyai peraturan yang jelas berkaitan hal ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!