Tiada keperluan mendesak jual saham MAHB - Radzi

MOHD RADZI
MOHD RADZI
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggesa kerajaan membatalkan penjualan 30 peratus blok saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing kerana tiada keperluan mendesak untuk urusniaga itu.

Beliau mendakwa, tawaran sukarela prasyarat yang dibuat oleh Gateway Development Alliance (GDA) berkaitan pemberian saham kepada anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) adalah tidak rasional.

"MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah tetapi pada tahun kewangan 2023, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 bilion.

"Situasi sudah cukup membuktikan bahawa tanpa pegangan satu blok besar saham daripada mana-mana syarikat asing, MAHB telah menunjukkan prestasi kewangan yang baik. Amat jelas bahawa tiada keperluan mendesak untuk menjual blok 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Mohd Radzi, nilai sebenar MAHB adalah pada konsesi yang dipegang syarikat tersebut melibatkan 39 buah lapangan terbang di seluruh negara.

"Di Asia, aset logistik menjadi buruan pelbagai pihak. Apatah lagi kedudukan geografi Malaysia yang amat strategik. Jadi, ketika mana kita tahu semua pihak ingin mencari peluang memiliki aset strategik di rantau ini.

"Kalau hendak dikatakan MAHB tiada kepakaran, MAHB mempunyai pengalaman yang cukup panjang dan kedudukan kewangan terbaik termasuk menguruskan Istanbul Sabiha Gokcen International Airport di Turkiye.

"Jika perlukan kepakaran juga, apakah kepakaran tersebut tidak boleh diperoleh tanpa menggadaikan 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing?," soalnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, berbanding dengan syarikat tersenarai, apabila sesebuah syarikat dinyah senarai, perkara-perkara penting berkaitan dengan syarikat tidak perlu lagi diumumkan kepada masyarakat awam.

Tambahnya, situasi tersebut adalah janggal apabila jumlah peratusan pegangan saham oleh ADIA dan GIP tidak dinyatakan dengan jelas di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

"Seharusnya bagi satu tawaran besar sebegini, struktur pemilikan adalah jelas daripada awal tawaran," jelasnya.

Menurutnya, pada Mac 2024, konsesi tersebut dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 2069 dan hasil negara milik rakyat sudah banyak digunakan untuk membangunkan jaringan lapangan terbang tersebut.

Media sebelum ini melaporkan GIP dan rakan kongsi dari Abu Dhabi yang didakwa akan memiliki 30 peratus saham MAHB.

GIP didakwa adalah subsidiari syarikat Blackrock yang pro Israel.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!