'Helikopter Presiden Iran terhempas, bukan angkara Israel'

Anggota Palang Merah Iran mengusung salah satu mayat mangsa penumpang di lokasi nahas tersebut. - Foto AFP
Anggota Palang Merah Iran mengusung salah satu mayat mangsa penumpang di lokasi nahas tersebut. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Seorang pegawai Israel pada Isnin memaklumkan mereka tiada kaitan dengan insiden nahas yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi bersama lapan pegawai kanan beliau yang lain.

“Ia bukan angkara kami,” lapor agensi berita Reuters memetik kenyataan individu itu yang enggan identitinya didedahkan.

Kemalangan misteri itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang turut mengaitkannya dengan rejim Tel Aviv yang merupakan seteru lama Teheran dan baru-baru ini hubungan antara kedua-duanya makin tegang selepas Iran melancarkan serangan untuk 'menghukum' rejim Zionis kerana membedil kedutaan mereka di Damsyik pada bulan lalu.

Melihat kepada permusuhan yang semakin tegang, segelintir warga Iran percaya nahas itu mungkin didalangi Israel seperti dipaparkan menerusi laporan Economist.

Ia dianggap sebagai teori yang boleh dipercayai memandangkan Teheran merupakan pengkritik lantang kekejaman rejim Zionis ke atas Genting Gaza sejak lebih tujuh bulan lalu.

Teori tersebut diperkuatkan lagi dengan bukti penglibatan agensi risikan Mossad di Tel Aviv yang diketahui sering mensabotaj kepentingan Iran seperti kemudahan nuklear meskipun ia belum pernah menyasarkan ketua negara tersebut sebelum ini.

Pakar bagaimanapun menolak 'teori berbahaya' itu kerana tindakan provokasi melampau dengan melakukan pembunuhan berprofil tinggi seakan-akan 'memalu gendang perang'.

Kematian Raisi juga dikhuatiri akan mencetuskan perebutan kuasa di Iran selain memberi impak besar kepada Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

Ketiadaan tokoh politik utama seperti Raisi berpotensi menjejaskan keseimbangan kuasa di Teheran dan serantau, di tengah-tengah peningkatan konflik akibat Perang Gaza dan kebangkitan gerakan di bawah Paksi Penentangan Anti-Israel.

Pemergian mengejut pemimpin disayangi rakyat dan bakal pengganti Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei itu turut disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia Arab. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!