PM, Abdul Hadi ucap takziah atas kematian Presiden Iran

Anwar, Abdul Hadi
Anwar, Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi; Menteri Luarnya, Dr Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai lain Republik Islam Iran dalam nahas helikopter pada Ahad.

Anwar berkata, beliau berkesempatan bertemu dan berbincang dengan Ebrahim di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November lalu.

“Saya amat sedih dengan kematian tragis Presiden Ebrahim Raisi; Menteri Luar, Dr Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai lain Republik Islam Iran.

“Kami komited untuk memperkukuh hubungan Malaysia-Iran, bekerjasama untuk kebaikan rakyat dan dunia Islam. Ikrar kita akan ditunaikan,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Isnin.

Pada Ahad, Ebrahim dilaporkan dalam penerbangan pulang dari satu majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.

Pada Isnin, menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, Ebrahim disahkan meninggal dunia dan tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Dalam pada itu, menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, Ebrahim menunjukkan komitmen mendalam terhadap kebajikan rakyat dan maruah bangsanya, yang mana mewakili tamadun kaya, membanggakan serta berteras prinsip-prinsip Islam.

“Dedikasinya terhadap keadilan, keamanan, dan peningkatan ummah benar-benar memberi inspirasi.

Artikel Berkaitan:

“Ucapan takziah saya tujukan kepada rakyat Iran semasa masa yang amat sukar ini.

“Semoga Allah merahmati roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang soleh,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ebrahim dan Hossein dalam kejadian nahas berkenaan.

"Pas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang terbunuh dalam nahas helikopter di utara Iran, pagi ini.

"Turut terlibat dalam tragedi ini ialah Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian. Semoga Almarhum Ebrahim dan Hossein ditempatkan di kalangan para syuhada dan hamba-Nya yang soleh,” menurutnya.

Kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Dr Hossein Amirabdollahian serta seluruh rakyat republik berkenaan yang terkesan dengan pemergian pemimpin itu dalam insiden nahas helikopter pada Ahad.

Dalam pada itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menzahirkan solidariti dengan Iran dan berdoa agar semua pihak mampu menghadapi situasi mencabar ketika ini.

Menurut kenyataan itu, kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Ebrahim dan Dr Hossein serta seluruh rakyat republik berkenaan yang terkesan dengan pemergian pemimpin terbabit.

“Pada 19 Mei lepas sekitar jam 4.20 petang waktu tempatan, sebuah helikopter membawa Ebrahim, Dr Hossein dan beberapa orang yang lain melakukan pendaratan cemas di Dizmar, kawasan antara Brazin serta Ardeshiri di wilayah Azerbaijan Timur.

“Ebrahim membuat lawatan di wilayah Azerbaijan Timur pada awal hari tersebut untuk merasmikan empangan Qizqalaasi yang terletak di sungai Aras bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

“Kerajaan Republik Islam Iran telah mengesahkan bahawa beliau, Dr Hossein dan semua penumpang lain terkorban dalam nahas terbabit,” katanya pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!