Pemimpin dunia sampaikan takziah atas pemergiaan Presiden Iran

Ebrahim Raisi. Foto AFP
Ebrahim Raisi. Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - [DIKEMAS KINI] Pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan kesedihan mereka atas pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter di barat laut Iran pada Ahad.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam ucapan takziahnya, mengumumkan hari berkabung selepas Iran mengesahkan kematian Raisi, 63, Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian dan pegawai-pegawai lain dalam nahas itu.

"Saya bersama kerajaan dan rakyat Pakistan menyampaikan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada negara Iran atas kehilangan besar ini.

"Semoga roh-roh yang syahid ditempatkan di syurga.

"Rakyat Iran yang hebat akan mengatasi tragedi ini dengan keberanian yang biasa mereka tunjukkan," kata Shehbaz.

"Pakistan berbesar hati dapat menerima kunjungan Presiden Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian dalam lawatan bersejarah kurang sebulan lepas.

"Mereka adalah sahabat baik Pakistan," katanya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam mesej takziahnya mengingati sumbangan Allahyarham Presiden dalam memperkukuhkan hubungan India-Iran.

Artikel Berkaitan:

"Ucapan takziah ikhlas saya kepada keluarganya dan rakyat Iran.

"India berdiri bersama Iran dalam masa kesedihan ini," kata Modi.

Kedutaan Iran di New Delhi menggambarkan Raisi sebagai 'penyokong orang-orang tertindas di dunia.'

Tragedi ini turut diratapi di Maldives dan seluruh Asia Selatan.

"Saya berdoa kepada ALLAH SWT agar memberkati roh Presiden Raisi, Menteri Luar Abdollahian, dan lain-lain yang kehilangan nyawa dalam kejadian malang ini dan memberikan mereka Syurga Firdaus.

"Ingatan dan doa kami bersama keluarga yang berduka dan rakyat Iran dalam waktu kesedihan yang mendalam ini," kata Presiden Maldives, Mohamed Muizzu.

Menteri Luar Maldives, Moosa Zameer berkata, Raisi adalah seorang pemimpin berdedikasi yang akan diingati kerana kebijaksanaannya dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk kemajuan Iran dan rakyatnya dan memanggil Abdollahian penyokong setia hubungan baharu antara Maldives dan Iran.

"Sri Lanka sangat terkejut dan sedih dengan kematian tragis Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Amir Abdollahian dan pegawai kanan Iran yang lain," kata Presiden Ranil Wickremesinghe dalam ucapannya.

Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry, meluahkan rasa terkejutnya mengenai insiden itu.

"Saya mengingati banyak lawatan dan pertemuan dua hala antara negara kita, serta lawatan Presiden Raisi ke Sri Lanka bulan lepas," katanya.

Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat dan kerajaan Iran dalam hantarannya di X.

"Saya menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian, dan mereka yang menyertainya selepas kemalangan tragis ini.

"Kami berdoa agar ALLAH memberikan mereka istirehat abadi dan kami bersimpati kepada keluarga mereka. UAE berdiri bersama Iran pada masa sukar ini," katanya.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, dalam satu hantaran di X berkata: "EU menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Presiden Raisi dan Menteri Luar Abdollahian, serta anggota delegasi dan kru mereka dalam kemalangan helikopter. Ingatan kami bersama keluarga mereka".

Presiden Rusia, Vladimir Putin, menghantar ucapan takziah kepada Iran berikutan pemergian Presiden Ebrahim Raisi, lapor berita Sputnik yang memetik kenyataan Kremlin pada Isnin.

"Tuan Yang Terutama Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei, terimalah ucapan takziah saya atas tragedi besar yang menimpa rakyat Republik Islam Iran, nahas pesawat yang meragut nyawa Presiden Ebrahim Raisi serta beberapa tokoh kerajaan terkemuka negara anda," katanya dalam ucapan itu.

Putin menyifatkan kematian Raisi sebagai tragedi besar bagi rakyat Iran, menyatakan bahawa beliau adalah seorang ahli politik yang cemerlang yang mengabdikan hidupnya untuk berkhidmat kepada negaranya.

"Sebagai sahabat sejati Rusia, beliau telah memberikan sumbangan tidak ternilai secara peribadi dalam pembangunan hubungan kejiranan baik antara negara kita dan telah berusaha keras untuk membawa hubungan tersebut ke tahap perkongsian strategik," kata Putin dalam ucapannya itu.

Presiden China, Xi Jinping, juga menyampaikan ucapan takziah kepada Iran, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, pada Isnin.

"Xi Jinping menyampaikan ucapan takziah kepada Naib Presiden Pertama Iran Mohammad Mokhber, menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat China atas kematian Presiden Raisi dalam nahas helikopter," kata Wang kepada wartawan.

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al Sudani menyatakan solidaritinya dengan bangsa saudara Iran dan dengan saudara-saudara kita di kalangan pegawai Republik Islam dalam tragedi yang menyedihkan ini, lapor berita Sputnik yang memetik hantaran beliau di media sosial.

Presiden Syria, Bashar Assad turut menyampaikan ucapan takziah kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, atas kematian Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian.

"Presiden Bashar Assad menyampaikan ucapan takziah bagi pihak dirinya dan rakyat Arab Syria kepada Imam Ali Khamenei, pemimpin Revolusi Islam Iran, serta kerajaan sahabat Iran dan rakyat Iran atas kematian Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan rakan-rakan mereka," kata kenyataan pejabat Assad. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!