UMPSA diiktiraf 146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun

UMPSA diiktiraf dunia sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024. Gambar kecil: Dr Yuserrie Zainuddin
UMPSA diiktiraf dunia sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024. Gambar kecil: Dr Yuserrie Zainuddin
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf dunia sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.

Pencapaian itu meletakkan UMPSA berada di kedudukan nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga terbaik di Malaysia.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMPSA merupakan universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi berusia mencecah 22 tahun.

Menurutnya, indikator kekuatan UMPSA adalah kualiti penyelidikannya.

"Universiti ini memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

"Pencapaian ini membuktikan UMPSA berada di landasan yang tepat selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memacu kecemerlangan agar setanding dengan universiti terkemuka di dunia amnya dan di Malaysia khasnya," katanya.

Yuserrie berkata, penilaian THE Young berdasarkan kepada indikator kualiti penyelidikan (30 peratus), reputasi pwngajaran ( 29.5 peratus), persekitaran penyelidikan (29 peratus), tinjauan antarabangsa (7.5 peratus) dan industri (4 peratus).

"Prestasi cemerlang ini tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh warga universiti serta kerjasama strategik yang produktif pihak industri, agensi, sektor awam, dan tidak ketinggalan alumni UMPSA," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, UMPSA merakamkan penghargaan tahniah buat warganya yang sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran penyelidikan, kolaborasi strategik bersama industri dan pengantarabangsaan program akademik melalui jalinan strategik di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.

"UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

"Universiti ini turut menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju," katanya.