Remaja maut motosikal bertembung Honda City

Keadaan sebuah kereta setelah terlibat kemalangan dengan motosikal di Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu, awal pagi Isnin.
Keadaan sebuah kereta setelah terlibat kemalangan dengan motosikal di Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu, awal pagi Isnin.
A
A
A

​SETIU - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 63, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini, awal pagi Isnin.

​Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menerima maklumat berhubung kejadian yang melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Honda City itu pada jam 2.55 pagi.

​Menurutnya, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku kira-kira jam 2.35 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

​"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 15 tahun dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

​"Motosikal itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun bersama penumpang lelaki berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas terlibat nahas di Kampung Pak Kancil, Setiu, awal pagi Isnin.
Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas terlibat nahas di Kampung Pak Kancil, Setiu, awal pagi Isnin.

​Mengulas lanjut, Zahril Asri berkata, akibat pertembungan tersebut, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah.

​"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan yang bertugas.

Artikel Berkaitan:

​"Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat," ujarnya.

​Tambahnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

​Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya.

​"Mana-mana individu atau saksi yang melihat kejadian ini diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Thaufiq di talian 09-6098222 bagi membantu siasatan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!