'Pengalaman pertama naik kapal terbang, kami rasa sangat dihargai' - Guru Pasti

KUALA TERENGGANU - Sebagai inisiatif menghargai jasa dan pengorbanan pendidik, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Habib mencipta kelainan tersendiri apabila menaja percutian 66 guru berserta keluarga menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur sempena program Hari Keluarga.
Pengurus Pasti Habib, Mohd Fahmi Alias berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan meraikan dedikasi guru sepanjang tiga tahun institusi tersebut beroperasi sejak 2024.
Menurutnya, kos program selama tiga hari itu mendapat tajaan sebahagiannya daripada Al-Azhar Care serta beberapa pihak lain.
"Hasrat dan tujuan utama hari keluarga ini diadakan dengan cara begini adalah untuk memberikan pengalaman berharga kepada guru Pasti bersama keluarga masing-masing untuk merasai pengalaman menaiki penerbangan.
"Tidak semua orang mampu untuk membeli tiket kapal terbang, tetapi dengan adanya program penghargaan seperti ini, ia dapat memberikan pengalaman dan mencipta kenangan baharu buat mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Mohd Fahmi, beliau berharap program tersebut menjadi satu bentuk penghargaan yang mampu menyuntik semangat warga pendidik Pasti Habib untuk terus berdedikasi melaksanakan tanggungjawab selepas ini.
Sementara itu, Guru Kanan Pasti Habib, Bibi Izzati Nadia mengakui terkejut dan sama sekali tidak menyangka sambutan hari keluarga kali ini disambut dalam suasana yang cukup istimewa.
"Pada awalnya, saya ingatkan sambutan kali ini diadakan biasa-biasa sahaja, tetapi sangat terkejut apabila dimaklumkan kami akan terbang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat Malaysia Airlines.
"Ini adalah pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang dan pastinya sangat teruja. Bukan sahaja guru yang ditaja, malah suami dan anak-anak turut merasai pengalaman menyeronokkan ini," ujarnya.
Menurutnya, sepanjang berada di sana, mereka turut dibawa melawat ke pelbagai lokasi menarik termasuk Planetarium dan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC).
Tambahnya, layanan istimewa itu secara tidak langsung menyuntik tenaga baharu buat dirinya untuk lebih bersemangat mendidik anak bangsa.
Dalam pada itu, seorang lagi guru, Hanis Nadhirah Azaki turut menzahirkan rasa syukur atas peluang berharga yang disifatkan mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakan sekerja.
"Rasa sangat dihargai kerana semuanya disediakan oleh pihak penganjur termasuk makan minum pagi, petang dan malam, selain kemudahan pemandu pelancong serta bas. Walaupun masa agak padat, kami sangat berpuas hati dan gembira.
"Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pihak Pasti Habib dan penaja. Insya-ALLAH, ini pastinya menjadi motivasi untuk kami terus belajar, memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama Pasti Habib," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

