[VIDEO] Pelantikan ADUN wakil parti Gerakan dibuat hari pertama Sidang DUN - Ahmad Samsuri

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Proses pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan mewakili kaum Cina daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan dilaksanakan pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 16 November ini.

​Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bagi membolehkan wakil tersebut mengangkat sumpah dan seterusnya mengambil bahagian dalam perbahasan pembentangan belanjawan kerajaan negeri.

​Menurut beliau, ADUN lantikan itu tidak akan memegang sebarang portfolio khusus, sebaliknya akan berperanan sebagai wakil suara masyarakat bukan Melayu di Terengganu pada masa ini.

​"Kita terbuka untuk melakukan penambahbaikan dengan melantik wakil dari kaum lain yang tidak ada perwakilan di negeri ini, termasuk kaum India, sekiranya jumlah kelompok itu signifikan. Biarlah munasabah, janganlah kalau hanya ada 10 orang pun mahukan perwakilan.

​"Jadi untuk masa ini, kelompok paling ramai selain Melayu di Terengganu adalah kaum Cina, dan kita akan pertimbangkan kaum lain juga pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN mengumumkan perkara tersebut ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan PN DUN Ayer Keroh, Melaka pada Ahad lalu.

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri

Beliau berkata, ​langkah berkenaan dibuat selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang mempunyai peruntukan khusus bagi melantik mana-mana pihak, kaum mahupun jantina yang tidak mempunyai perwakilan di dalam dewan.

Artikel Berkaitan:

​Menjawab dakwaan bahawa pelantikan itu akan memberi beban kewangan kepada kerajaan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa kelewatan melantik wakil tersebut sejak awal pembentukan kerajaan adalah disebabkan cabaran pengurusan kewangan negeri.

​Jelas beliau, ia berpunca daripada isu penyaluran dana royalti oleh Kerajaan Pusat yang tidak lagi disalurkan secara berjadual dua kali setahun, sebaliknya memerlukan permohonan dibuat dari masa ke masa.

​"Hal ini menyebabkan kesukaran untuk kita mendapatkan sumber yang mencukupi pada peringkat awal. Mengikut kuota, Terengganu boleh melantik sehingga empat ADUN lantikan berbanding enam atau tujuh di negeri lain.

​"Namun, memandangkan kita kini sudah berada di separuh penggal pentadbiran, perbelanjaan kewangan itu dengan sendirinya akan berkurang.

"Selepas lebih dua tahun berdepan bentuk sekatan pengurusan kewangan ini, kita sudah dapat gambaran bagaimana untuk menguruskannya dan Insya-ALLAH kita mampu tangani kos pelantikan ini untuk baki penggal yang ada," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!