[VIDEO] Pasukan peronda bertugas walaupun suhu 52 darjah Celsius

A
A
A

MAKKAH - Pasukan Unit Peronda Tabung Haji (Tabung Haji) merupakan anggota barisan hadapan yang perlu bertugas di bawah cahaya terik matahari dengan suhu mencecah 52 darjah Celsius demi memastikan keselamatan 31,600 jemaah haji Malaysia.

Ketua Unit Peronda, Inspektor Mohamad Amer Jawahil berkata, unit tersebut mempunyai 18 anggota dan berperanan memantau perjalanan pergi balik jemaah haji Malaysia di sekitar Masjidil Haram.

Menurutnya, unit peronda bertugas 24 jam dengan mempunyai tiga syif iaitu bermula waktu pukul 7 pagi, 2 petang dan 10 malam.

Anggota pasukan peronda mendengar taklimat pembahagian tugas sebelum bergerak ke lapan lokasi di Masjidil Haram.
Anggota pasukan peronda mendengar taklimat pembahagian tugas sebelum bergerak ke lapan lokasi di Masjidil Haram.

"Unit peronda ditempatkan di lapan lokasi sekitar Masjidil Haram antaranya di pintu Marwah, pintu Babussalam dan King Fahd serta lima lokasi lain. Justeru banyak cabarannya. Malah, anggota perlu berjalan kaki setiap kali bertugas dengan tiada kenderaan disediakan.

"Anggaran kasar bagi setiap anggota peronda berjalan adalah sejauh lapan kilometer (km) setiap hari. Di samping itu, anggota juga perlu berdiri dalam tempoh yang lama," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Beliau berkata, anggota pasukan berkenaan berbaju T berwarna merah yang mudah dilihat dan dikenali jemaah.

Ketua Unit Peronda Inspektor Mohamad Amer Jawahil memeriksa anggota sebelum memulakan pertukaran shif di sebelah petang.
Ketua Unit Peronda Inspektor Mohamad Amer Jawahil memeriksa anggota sebelum memulakan pertukaran shif di sebelah petang.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum bergerak ke Tanah Suci, pasukan ini sudah diterapkan dengan persediaan mental dan fizikal dan proses pemilihan yang agak ketat kerana tugas pasukan peronda ini amat berat serta memerlukan pengorbanan amat tinggi,” katanya lagi sudah berkhidmat dengan TH selama 35 tahun.

Malah, dari segi pemilihan anggota, pihaknya menekankan mengenai kesihatan termasuk soal BMI dan juga keutamaan diberikan kepada anggota yang belum pernah pergi, selain kepada anggota yang ada pengalaman dan lama tidak pergi ke Tanah Suci.

“Anggota kami juga diberi latihan dari segi menyelamat dan sememangnya mahir terutama dari segi rawatan awal,” katanya yang sudah lima kali ditugaskan di Tanah Suci, tiga kali sebagai peronda dan masing-masing sekali sebagai petugas Masyair serta penyelia katering.

Beliau berkata, sepanjang bertugas sebagai pasukan peronda, pengalaman yang sukar dilupakan adalah tragedi kren tumbang pada 2015 yang mengorbankan lebih 100 nyawa termasuk lima jemaah haji Malaysia dan mencederakan lebih 230 jemaah dari seluruh dunia.

Ketua Unit Peronda Inspektor Mohamad Amer Jawahil ketika ditemui media, di Ibu Pejabat TH Makkah pada Ahad.
Ketua Unit Peronda Inspektor Mohamad Amer Jawahil ketika ditemui media, di Ibu Pejabat TH Makkah pada Ahad.

“Ketika itu saya ditugaskan sebagai ketua unit peronda. Peristiwa itu berlaku sebelum Asar dan secara kebetulan saya berada di Pintu Marwa.

"Ketika itu berlaku ribut dan hujan lebat, kemudian terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah dalam, saya cuba masuk ke dalam tetapi jemaah dari negara lain berpusu-pusu keluar masjid,” katanya.

Menurutnya, peristiwa itu banyak memberi pengajaran agar pasukan lebih bersedia pada masa depan.

“Kami terapkan dalam latihan sebelum datang ke sini selain memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) apabila berlaku kecemasan.

“Sistem perhubungan juga dipertingkatkan dengan enam set 'walkie talkie', selain itu kita juga menggunakan telefon bimbit dan WhatsApp. Ini penting kerana segala maklumat pergerakan dan pertemuan direkodkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!