Mohon jemaah haji doakan negara dijauhi bencana, malapetaka

Sultan Sallehuddin (kanan) beramah mesra bersama jemaah haji dari Kedah sebelum kesemua 142 jemaah berlepas ke KLIA.
Sultan Sallehuddin (kanan) beramah mesra bersama jemaah haji dari Kedah sebelum kesemua 142 jemaah berlepas ke KLIA.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memohon jemaah haji Malaysia mendoakan negara ini dijauhi dari segala bencana dan malapetaka tidak diingini.

Baginda berharap kesemua umat Islam yang berada di Tanah Suci agar mendoakan kepada ALLAH SWT untuk terus memelihara kesejahteraan negara ini.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan jemaah haji untuk memanjatkan kesyukuran atas nikmat keamanan negara yang dikecapi sehingga membolehkan rakyat negara ini mengerjakan Rukun Islam ke-lima dengan aman, selamat dan selesa.

“Jemaah haji harus bersyukur kerana Tabung Haji (TH) sentiasa ambil berat akan kebajikan mereka dengan anjurkan pelbagai kursus, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan selain infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehingga ke Tanah Suci”, titah baginda ketika berkenan mencemar duli berangkat ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah haji Kedah, di sini pada Jumaat.

Sultan Kedah juga menasihati kesemua tetamu ALLAH yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin tinggi selain mematuhi arahan dan saranan daripada pihak TH.

“Jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, patuhi semua nasihat dan arahan diberikan TH, titah baginda lagi.

Sultan Sallehuddin bertitah agar jemaah haji bersabar, bertoleransi dan membantu sesama saudara Islam, tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam mahupun budaya sepanjang berada di tanah suci.

“Ini kerana pada setiap musim haji, kerajaan Arab Saudi membenarkan hampir tiga juta jemaah dari seluruh dunia mengerjakan ibadat haji, menyebabkan keadaan di Tanah Suci sesak dan mencabar.

Artikel Berkaitan:

“Lebih 31,600 jemaah haji Malaysia dijemput ke Tanah Suci menunaikan ibadat haji. Beta pasti ia amat disyukuri dan dinanti-nantikan oleh semua tetamu ALLAH SWT,” titah baginda.

Sultan Kedah berharap TH akan meneruskan usaha penambahbaikan terhadap sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang dan kekal menjadi contoh kepada negara Islam lain di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman memaklumkan, penerbangan jemaah haji Kedah ini merupakan penerbangan ke-25 dari keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji.

“Lebih 7,000 bakal haji negara telah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Saya ingin nasihatkan mereka agar menjaga kesihatan sepanjang berada di sana, turuti arahan pihak berkuasa Arab Saudi serta peraturan ditetapkan TH untuk keselamatan.

“Selaku wakil negara, sentiasa pertahankan budaya rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi, tunjukkan imej dan identiti terbaik selaras dengan hasrat TH menjadikan jemaah haji Malaysia sebagai model terbaik kepada jemaah negara Islam dan masyarakat antarabangsa," katanya.

Penerbangan bakal haji dari Kedah seramai 142 orang ini akan bergabung dengan 142 bakal haji dari Johor, menjadikan keseluruhan 284 jemaah yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menaiki pesawat pada 10.50 malam, dan dijangka tiba di Madinah pada 2.35 pagi waktu Arab Saudi.

Jemaah dari Alor Setar, Nur Farisha Izzaty Mohd Shazali, 28, menyifatkan usia muda bukan penghalang untuk mengerjakan haji bersama suami tercinta, Mohd Afiq Syahmi Fuad, 32.

Nur Farisha Izzaty
Nur Farisha Izzaty

“Bersyukur sebab terpilih sebagai tetamu ALLAH SWT, walaupun pada usia muda. Ini juga rezeki daripada emak saya yang mendaftar awal nama saya dengan TH pada 2008. Mengerjakan ibadat haji ketika muda ada manfaatnya, kita lebih bertenaga untuk beribadat,” kata guru dari Pulau-Pinang ini.

Mazlan Abu Bakar, 55, dan isteri, Saemah Satari, 53, berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji.

Mazlan dan isteri, Saemah teruja menjejakkan kaki buat kali pertama menunaikan haji.
Mazlan dan isteri, Saemah teruja menjejakkan kaki buat kali pertama menunaikan haji.

“Syukur selepas menunggu hampir enam tahun dan kemukakan surat rayuan, saya dan isteri dapat tunaikan haji. Kami juga bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik dan berharap dapat mengerjakan ibadat dengan sempurna,” katanya yang menetap di Kota Sarang Semut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!