Kenderaan asing seludup diesel RM1.2 juta sehari

Aedy Fadly (duduk dua kiri) pada sidang akhbar di Depoh Tahanan Kederaan ICQS Bukit Kayu Hitam pada Ahad.
Aedy Fadly (duduk dua kiri) pada sidang akhbar di Depoh Tahanan Kederaan ICQS Bukit Kayu Hitam pada Ahad.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kerajaan didapati telah mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta sehari hasil penyeludupan diesel oleh kenderaan asing yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, perkara berkenaan telah diakui oleh pemandu kenderaan asing yang ditahan dalam Op Khas Tangki di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat pemandu kenderaan asing itu mengaku telah berulang-alik menyeludup barang kawalan tersebut dari sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam ke negara jiran.

Aedy Fadly (dua kiri) menunjukkan tangki tambahan yang diubah suai pada sebuah treler dari negara jiran yang ditahan dan boleh mengisi sehingga 5,000 liter diesel.
Aedy Fadly (dua kiri) menunjukkan tangki tambahan yang diubah suai pada sebuah treler dari negara jiran yang ditahan dan boleh mengisi sehingga 5,000 liter diesel.

"Apa yang mendukacitakan kita adalah ada kenderaan asing yang dipercayai berulang alik lima kali sehari membawa minyak diesel dari negara ini ke Thailand.

"Satu perjalanan anggarannya adalah RM250,000. Anggaran ketirisan hasil yang dialami oleh negara jika didarab lima kali adalah kira-kira sebanyak RM1.2 juta sehari hasil penyeludupan ini. Sebab itulah Ops Tangki diadakan dengan kerjasama agensi-agensi lain," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau kenderaan asing termasuk treler yang disita di Depoh Tahanan Kenderaan ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mad Dali, Pengarah JPJ Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dan Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain.

Artikel Berkaitan:

Aedy Fadly berkata lagi, kebanyakan kenderaan asing tersebut telah diubah suai dengan meletakkan tangki tambahan untuk memudahkan penyeludupan itu dilakukan.

Menurutnya, sepanjang Op Khas Tangki bermula sejak Rabu lalu, sebanyak 18 kenderaan asing termasuk treler yang diubah suai telah ditahan termasuk lapan membabitkan dua buah treler, lima buah pikap dan sebuah kereta Toyota Corolla di ICQS Bukit Kayu Hitam.

Aedy Fadly (tengah) menunjukkan sebuah pikap yang turut dipasang tangki tambahan di bawah kenderaan itu.
Aedy Fadly (tengah) menunjukkan sebuah pikap yang turut dipasang tangki tambahan di bawah kenderaan itu.

"Selain itu, enam buah kenderaan iaitu lima buah lori dan sebuah van ditahan di Cawangan JPJ Sungai Petani dan empat buah lori di Cawangan JPJ Suka Menanti.

"Ops Khas Tangki ini memfokuskan semua kenderaan asing dari negara Thailand meliputi kenderaan persendirian dan kenderaan perdagangan untuk penyeludupan minyak diesel ke negara jiran," ujar beliau.

Tambahnya, JPJ akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain di sempadan termasuk Imigresen di sempadan negara bagi memantau pergerakan keluar masuk individu setiap hari bagi mengekang aktiviti penyeludupan minyak diesel menggunakan kenderaan yang diubah suai.

"Jadi sebab itulah JPJ dan semua agensi penguat kuasa di sini mengadakan Ops Khas Tangki ini dan tidak akan berkompromi dengan pemandu kenderaan asing yang melanggar undang-undang yang ditetapkan," kata beliau lagi.