Ikat jamin ditarik balik, tertuduh kes pelaburan RM1.45 juta direman

Ikat jamin ditarik balik, tertuduh kes pelaburan RM1.45 juta direman
Ikat jamin ditarik balik, tertuduh kes pelaburan RM1.45 juta direman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang perunding am gagal untuk hadir pada dua tarikh sebutan kes, April dan minggu lalu, bagi 10 pertuduhan termasuk memperdaya pelabur babit kerugian RM1.45 juta, mengundang padah, apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, membatalkan ikat jamin sebanyak RM250,000 terhadapnya.

Tindakan itu sekali gus menyebabkan tertuduh, Mohd Azhidi Laili, 49, ditahan reman sehingga perbicaraan kes itu selesai.

Hakim, Azrul Darus memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Izuddin Mohamad untuk membatalkan jaminan yang dikenakan terhadap lelaki berkenaan.

Tertuduh dilaporkan bukan sahaja gagal untuk hadir ke mahkamah pada 15 April dan 15 Mei lalu, malah tidak melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 2 Mei.

Menurut hakim itu, kesalahan yang dipertuduhkan terhadap Azhidi, ialah termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan budi bicara mahkamah, tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM250,000 selain perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan.

“Kamu dimaklumkan untuk hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kes, namun kamu gagal hadir hingga kamu ditahan dan tiada sebarang alasan diberikan oleh kamu serta penjamin.

“Setelah mendengar keterangan daripada pegawai penyiasat kes dan kamu, jaminan yang diberikan sebelum ini dibatalkan, oleh itu, kamu ditahan reman sehingga kes selesai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Izuddin berkata, pendakwaan memohon jaminan yang diberikan terhadap tertuduh ditarik balik kerana dia gagal untuk mematuhi syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini.

“Tertuduh menyatakan ada sijil cuti sakit tetapi dia tidak berikannya kepada mahkamah, jadi sukar untuk pegawai penyiasat mendapatkan tertuduh.

"Oleh itu, saya memohon bon jaminan yang diberikan kepada tertuduh dibatalkan dan dia ditahan reman sehingga perbicaraan ini selesai,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu, mahkamah tidak menarik balik jaminan yang dikenakan terhadapnya kerana beliau mempunyai sijil cuti sakit.

“Selama ini saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak SC.

"Saya tidak melaporkan diri kerana berada dalam keadaan buntu, maka dimohon mahkamah memberi peluang kepada saya,” katanya.

Perbicaraan kes itu telah bermula 20 Februari 2023 dengan 18 saksi telah memberi keterangan di mahkamah setakat ini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh yang mempunyai kawalan terhadap akaun-akaun dagangan niaga hadapan berdaftar di AmFutures Sdn Bhd, didakwa memperdaya sembilan lelaki sehingga menyebabkan mangsa mendepositkan wang berjumlah hampir RM1.45 juta ke dalam ‘Client Segregated Accounts’ yang dipegang oleh AmFutures untuk tujuan pelaburan dalam niaga hadapan minyak sawit mentah sedangkan pelaburan tersebut tidak wujud.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Derivatives Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara Mei 2013 dan Mac 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum bawah Seksyen 209 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-10, Mohd Azhidi didakwa telah mengemukakan diri sebagai wakil AmFutures Sdn Bhd untuk menjalankan perniagaan tanpa Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal atau bukan merupakan orang berdaftar bagi menjalankan aktiviti pelaburan tersebut.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan di sini, antara Mei 2013 dan Januari 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 59(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!