Pahang hantar bantuan bernilai RM1.602 juta ke Gaza

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang Ke Gaza, Palestin di Kawasan Perindustrian Pelabuhan Klang pada Isnin.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang Ke Gaza, Palestin di Kawasan Perindustrian Pelabuhan Klang pada Isnin.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kerajaan negeri Pahang menerusi Sekretariat Pahang 4Palestine pada melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan ke Gaza bernilai RM1.602 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, misi penghantaran barang bantuan kemanusiaan ini adalah hasil kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine yang mula digerakkan selepas penganjuran Himpunan Solidariti Pahang4Palestine di Kuantan, Pahang pada 28 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, jumlah kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine sehingga hari ini (20 Mei 2024) adalah berjumlah RM1.602 juta hasil sumbangan pelbagai pihak di negeri Pahang.

“Sebanyak 30 tan barang bantuan seperti pek makanan (nasi arab ayam dan nasi arab kambing), selimut dan juga ubat-ubatan akan dihantar menerusi jalan laut.

“Penghantaran akan bergerak dari Pelabuhan Klang pada 1 Jun dan dijangka tiba di Pelabuhan Said, Mesir pada 4 Julai dengan kerjasama Ops Ihsan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Flag-Off Barang Bantuan dari Pahang ke Gaza, Palestin pada Isnin.

Turut hadir, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Mr Walid Abu Ali; Duta Besar Mesir ke Malaysia, Mr Ragai Tawfik Said Nasir; Ketua Pegawai Eksekutif NYS Globalogistics Ng Jen NY dan Pengerusi Sekretariat Induks Ops Ihsan, Jismi Johari.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) melancarkan Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang Ke Gaza, Palestin di Kawasan Perindustrian Pelabuhan Klang pada Isnin.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) melancarkan Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang Ke Gaza, Palestin di Kawasan Perindustrian Pelabuhan Klang pada Isnin.

Jelasnya, misi kemanusiaan ini merupakan kali kedua yang dilaksanakan kerajaan Pahang, di mana kali pertama menyalurkan wang tunai RM700,000 untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan Rejim Israel menerusi Kempen Dana Tabung Pahang For Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Gaza pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kerajaan negeri terus konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Rejim Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza yang telah mengorbankan lebih 35,000 nyawa yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Kerajaan Pahang juga mendesak supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara seluruh dunia mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik kemanusiaan yang begitu kritikal di Gaza dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera.

“Sehingga kini lebih 35,000 orang rakyat Palestin yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua telah menjadi korban keganasan dan kekejaman rejim haram Israel yang tidak berperikemanusiaan.

“Malah, keadaan rakyat Palestin seramai 1.5 juta orang pada ketika ini yang sedang berlindung di Rafah cukup genting, mereka bukan sahaja kekurangan sumber makanan dan ubat-ubatan yang kritikal, tetapi keadaan mereka juga ibarat ‘telur di hujung tanduk’ apabila rejim haram Israel telah merancang untuk menyerang secara besar-besaran kedudukan terakhir penduduk Gaza itu,” kata Wan Rosdy.

Tambahnya lagi, seluruh dunia tertumpu ke arah Rafah. Desakan dan bantahan terus disuarakan oleh masyarakat dunia bagi menghalang Israel meneruskan tindakan jahat mereka itu yang secara jelas niat mereka adalah untuk menghapuskan penduduk di Gaza.

“Saya berharap agar seluruh dunia terutamanya negara-negara Arab terus memberi desakan dan tekanan yang kuat terhadap Israel agar tindakan kejam ini dapat dihentikan dan gencatan senjata dapat dilaksanakan agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk Palestin,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!