Insiden balai polis diserang contoh wujud golongan ghuluw, khawarij - Fakhrulrazi

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyifatkan serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram di Johor contoh wujudnya golongan ghuluw dan khawarij dalam negara ini.

Beliau sehubungan itu mengesyorkan agar tindakan segera diambil kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman dan merosakkan imej Islam.

"Wajib segera dibanteras. Bukan sahaja menjejaskan ketenteraman tetapi merosakkan imej Islam.

"Ghuluw lahir dari sikap taasub dan tiada ilmu. Masjid surau wajib dipantau segera," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Pemikiran khawarij ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan 'zalim', manakala ghuluw merujuk sikap keterlaluan atau melampau menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami serta mengambil sesuatu tindakan.

Dalam satu hantaran berasingan, Mohd Fakhrulrazi turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban.

"Salam takziah buat keluarga anggota polis yang terkorban diserang penjenayah. Semoga ALLAH menempatkannya di kalangan mereka yang syahid," katanya.

Pada Jumaat, dua anggota polis maut manakala seorang anggota mengalami kecederaan dalam kejadian serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, dalam kejadian itu suspek turut ditembak mati di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun dipercayai ahli Jemaah Islamiyah.

Menurutnya, susulan kejadian itu, polis melakukan serbuan di rumah suspek di Ulu Tiram dan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!