Kedai emas di Port Dickson didakwa guna alat timbang tidak seimbang

SEREMBAN - Sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis atas pertuduhan menggunakan alat timbang yang tidak seimbang, tahun lalu.
Syarikat terbabit yang diwakili pengarahnya, Yee Siew Hoon, 67, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu telah ada dalam milikan untuk kegunaan perdagangan satu unit alat timbang elektronik jenama AND Model GF-3000 dengan kapasiti had terima 3,100 gram yang tidak seimbang.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada jam 9.51 malam di sebuah premis di Jalan Raja Aman Shah, Port Dickson, pada 4 Julai 2025.
Berikutan itu, orang kena saman (OKS) telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama (Akta 71).
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan timbang, sukat atau alat timbang atau sukat boleh dilucut hak.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Khairul Azman Rosli memohon wakil syarikat diikat dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, S Kartikeyan memohon wang jaminan yang rendah memandangkan tertuduh adalah warga emas selain syarikat miliknya yang sudah beroperasi sejak 45 tahun lalu masih lagi beroperasi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM2,000 dan menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

