[VIDEO] Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram untuk rampas senjata api - KPN

A
A
A

JOHOR BAHRU - Motif serangan seorang lelaki yang menembak mati dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi anggota di Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat dipercayai untuk merampas senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang berusia 21 tahun itu disyaki anggota Jemaah Islamiyah (JI) dan sudah membuat persiapan rapi sebelum melakukan serangan berkenaan.

"Daripada siasatan kita dapati bahawa suspek telah bawa beg mengandungi 'shield' (perisai), kain dan 'paper' untuk bertempur dengan polis. Kita lihat mungkin dia datang untuk dapat senjata api, ada agenda yang kita tak tahu lagi buat masa ini.

"Saya telah minta cawangan khas dapatkan semua anggota JI di Johor utk kenal pasti dan siasat," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat.

Razarudin meninjau lokasi kejadian dua anggota polis maut ditetak dan ditembak dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Jumaat.
Razarudin meninjau lokasi kejadian dua anggota polis maut ditetak dan ditembak dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 2.30 pagi semasa dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 22 dan 21 tahun datang ke balai untuk membuat aduan dicabul dua tahun lalu.

Pada masa sama katanya, suspek datang ke balai tersebut dengan menunggang motosikal dengan membawa sebilah parang sebelum meletakkan motosikalnya di bahagian belakang.

Katanya, seorang anggota polis yang menjaga di bahagian depan balai kemudian meninjau ke bahagian belakang balai sebelum ditetak suspek sebanyak tiga kali di leher sebelum merampas pistol anggota polis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemudian datang seorang lagi anggota polis dan suspek menembaknya di bahagian pipi.

"Anggota polis berkenaan maut di tempat kejadian selepas peluru tersebut tembus di kepalanya. Dua anggota polis berkenaan yang berasal dari Kuantan, Pahang dan Bidor, Perak berusia 21 dan 22 tahun maut di tempat kejadian," katanya.

Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dua anggota polis maut ditetak dan ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat.
Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dua anggota polis maut ditetak dan ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek kemudian menembak seorang lagi anggota polis di bahagian bahu kiri dan pinggul sebelum suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Ujarnya, anggota tersebut mengalami kecederaan dan dilaporkan stabil di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Susulan itu katanya, pihak polis menahan tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia 19 sehingga 62 tahun serta lelaki dan wanita yang membuat laporan polis itu.

"Bapa suspek merupakan ahli JI di Ulu Tiram. Lelaki dan wanita itu pula mendakwa dicabul, kita akan siasat.

"Kalau tanya saya kes kononnya diraba, tidak logik datang jam 2 pagi," katanya.

Razarudin berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kira-kira 20 lagi JI yang terdapat di Ulu Tiram.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!