30 rumah atas air musnah terbakar

PASIR GUDANG - Sebanyak 30 unit rumah atas air musnah dalam kebakaran yang berlaku di penempatan Orang Asli dekat Jalan Dedaru 11, Kampung Teluk Jawa di sini pagi Khamis.
Komander Operasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Subri Md Isa berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.04 pagi.
Jelasnya, tiga jentera bersama 28 anggota daripada BBP Pasir Gudang dan BBP Johor dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan perkampungan atas air berstruktur sementara yang dibina menggunakan dinding kayu, lantai papan dan bumbung zink dengan keluasan dianggarkan 200 x 200 kaki persegi.
"Kebakaran mengakibatkan kira-kira 90 peratus kemusnahan membabitkan keseluruhan 30 unit rumah.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, selain rumah kediaman, kebakaran turut menyebabkan kerosakan pada dua bot berenjin (50 peratus), sebuah kereta (5 peratus) dan enam buah motosikal (90 peratus).
“Pasukan bomba menggunakan sumber air laut berhampiran dengan bantuan pam GP 10/10, melibatkan satu aliran sepanjang 400 kaki, satu breaching, dua pancutan serta satu aliran 100 kaki dengan satu pancutan,” katanya.
Ujarnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.41 pagi, manakala kerja-kerja pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Kebakaran musnahkan 30 unit rumah atas air di Kampung Teluk Jawa, Pasir Gudang
- Panggilan kecemasan diterima pada jam 7.04 pagi
- Tiga jentera dan 28 anggota bomba dikerahkan ke lokasi
- Kebakaran mengakibatkan 90 peratus kemusnahan
- Tiada mangsa cedera atau terkorban, punca kebakaran masih disiasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

