Polemik UiTM: Tidak perlu timbulkan sentimen

Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
A
A
A

SEMALAM, rata-rata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpakaian hitam sebagai membantah cadangan membenarkan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke universiti itu.

Ia berpunca daripada sebuah portal berita berkaitan kesihatan pada 25 April lalu menyiarkan laporan UiTM bersetuju membuka ‘sementara’ program pasca siswazah pembedahan kardiotorasik kepada pelajar bukan bumiputera yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang itu.

Laporan yang memetik kenyataan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar itu telah mengundang seribu satu reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang bersetuju, ada pula sebaliknya.

Tidak perlulah diulas satu persatu reaksi tersebut kerana ‘sudah terang, lagi bersuluh’ bahawa kemasukan pelajar bukan bumiputera itu sebenarnya tidak selari dengan asas perundangan di bawah Bahagian 1, Seksyen 1A, Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) yang menuruti serta mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sendiri telah pun menegaskan bahawa isu kemasukan pelajar bukan bumiputera di UiTM tidak pernah dibincangkan, apatah lagi bersetuju mengenai perkara tersebut.

Justeru, adalah tidak wajar isu berkenaan menjadi polemik atau perdebatan oleh mana-mana pihak, apatah lagi menjadikannya sebagai sentimen perkauman.

Pihak pengurusan UiTM juga seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan akta penubuhan universiti itu.

Tiada keperluan bagi UiTM mewujudkan kes duluan (precedent) dalam soal membuka kemasukan pelajar bukan bumiputera ke universiti itu, apatah lagi cuba menjadikannya sebagai keutamaan (precedence).

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, tiada sesiapa pun di negara ini boleh mempersoal atau mempertikaikan hak dan eksklusif UiTM terhadap bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, pemahaman mengenai bumiputera juga perlu diperbetulkan kerana mungkin ada pihak menganggapnya hanya tertakluk kepada orang Melayu dan beragama Islam sahaja.

Sebaliknya, selain daripada orang Melayu, terdapat 116 etnik yang dikategorikan sebagai bumiputera di negara ini; antaranya meliputi Orang Asli (Negrito, Senoi, Melayu Proto), Sabah (Bajau, Dusun, Kadazan, suluk, Bisay, Iranun) dan Sarawak (Melanau, Kedayan, Iban, Dusun, Lemanak).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!