Peruntukan RM1.64 billion atasi banjir di Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Sebanyak tujuh projek dengan peruntukan bernilai RM1.64 bilion daripada kerajaan Pusat dijangka membantu mengatasi masalah banjir di Segamat, Batu Pahat serta Kota Tinggi.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, pihaknya juga telah turun padang dan mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perunding dan kontraktor.

Malah katanya, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi atau hotspot banjir ini selain telah ada perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta pecahan peruntukan yang diperlukan.

“Saya sendiri telah mencadangkan supaya kerja-kerja penyelenggaraan parit-parit ini tidak dibuat secara pukul rata di mana bagi kawasan hotspot banjir, kerrja-kerja penyelenggaraan mestilah dibuat sekerap yang mungkin berbanding kawasan yang bukan hotspot.

“Selain itu, koordinasi juga penting kerana kerja-kerja naiktaraf perlu dilakukan secara menyeluruh supaya tiada bottleneck akibat saiz parit atau saliran yang berbeza dan tidak mampu menampung kapasiti air banyak.

“Selain itu, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang merupakan projek jangka masa panjang serta berskala besar menjadi keutamaan negeri,” katanya dalam ucapan penggulungannya sempena Sidang DUN, pada Khamis.

Tambah Moahmad Fazli, hasil perbincangan serta rundingan projek RTB Bandar Batu Pahat yang pada mulanya dijangka siap pada disember 2027 dapat diawalkan ke Disember 2026 manakala projek RTB di Segamat dan RTB Sungai Johor fasa 1 pakej dijadualkan tiga bulan lebih awal berbanding tarikh siap asal iaitu Disember 2027.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Fazli berkata, kerajaan negeri juga sentiasa cakna terhadap keperluan naik taraf, pelebaran serta pembinaan jalan baharu sama ada untuk mengatasi kesesakan, isu keselamatan atau untuk pembangunan.

Katanya, isu yang sentiasa menjadi cabaran bagi pihak kerajaan melaksanakan kerja-kerja naik taraf jalan melibatkan kekurangan anggota bagi tujuan kerja-kerja pemantauan kualiti kerja.

“Secara keseluruhannya, pemantauan kepada pematuhan spesifikasi bahan, prosedur operasi standard (SOP), sehinggalah pemantauan terhadap tempoh siap sesebuah projek.

“Oleh itu saya meminta pihak yang melaksanakan projek lebih bertanggungjawab dan pihak kerajaan akan menyemak semula kontrak-kontrak yang berkaitan supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang culas dengan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

.........................................................................................................

RM42.8 juta untuk cantas, tebang pokok

ISKANDAR PUTERI - Sejumlah RM42.8 juta diperuntukkan oleh kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi tujuan cantasan dan penebangan pokok terutamanya melibatkan pokok-pokok tua.

Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Sukor, kesemua PBT berkenaan turut memperuntukkan sejumlah RM38.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan penjagaan pokok-pokok berkenaan.

Katanya, sebanyak RM5.4 juta diperuntukkan bagi tujuan penanaman pokok baru termasuk penggantian pokok yang ditebang di kesemua 16 pihak PBT.

“Di peringkat negeri Johor, pengurusan penyelenggaraan pokok berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mempunyai perancangan dan pelaksanaan bagi menangani pokok-pokok tua.

“Bagi pokok-pokok yang telah ditebang, ianya boleh digantikan dengan penanaman pokok-pokok yang baharu.

“PBT turut mempunyai rancangan dan pelaksanaan bagi pengurusan pokok-pokok tua yang dijalankan secara berperingkat,” katanya.

Mohd Jafni berkata demikian bagi mengulas kebimbangan yang disuarakan ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, berkaitan tragedi pokok tumbang yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!